Universiti Teknologi MARA (UiTM) Selangor menganjurkan program The Food Bank Project baru-baru ini, bagi menyantuni masyarakat sekitar Bestari Jaya, Selangor.
Penganjuran di bawah Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) itu mendapat kolaborasi pihak Masjid Ar- Ridzuan, Kampung Bestari Jaya dan badan bukan kerajaan (NGO), Nadi Annisa Muslim Women Organisation Kuala Lumpur & Selangor (Nadi Annisa).
Program itu adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 2: Zero Hunger, SDG 3: Good Health and Wellbeing dan SDG 17 Partnerships for the Goals.
Inisiatif menjalankan projek bersama komuniti kampung ini telah berjaya mendekati kira-kira 100 keluarga yang memerlukan dalam kalangan ibu tunggal, asnaf dan komuniti istimewa.
Para peserta yang terlibat telah menerima kit keperluan asas dalam bentuk barangan dapur seperti beras, tepung, minyak, gula dan lain-lain.
Menurut Pengarah Projek, Razif Dasiman, program berkenaan merupakan satu inisiatif bersifat kesukarelawanan yang menjadi tunjang kepada University Social Responsibility (USR) bagi menggalakkan penglibatan kerjasama sepenuhnya oleh pihak NGO, warga universiti, alumni UiTM dan penduduk setempat bagi mendekati masyarakat.
Ujar beliau yang juga Pensyarah Kanan (Fisiologi) FSK UiTM, bantuan pakej keperluan asas yang disediakan diharapkan dapat menjadi bekalan penyambung untuk meneruskan kehidupan seharian serta meringankan sedikit beban yang ditanggung.
Sementara itu, para peserta yang hadir telah dilibatkan dengan sesi Forum Kesihatan Mental dan Pemakanan Sihat bertemakan ‘Sihatkah kita?’ sebelum penyampaian Food Bank diberikan.
Panel forum terdiri daripada Pakar Psikologi Klinikal UiTM iaitu Dr Kartini Ilias yang mengulas mengenai isu kesihatan mental dan Alumni Program Dietetik FSK UiTM iaitu Arif Fadluddin yang menjelaskan cara-cara pemakanan sihat dan diet seimbang.
Majlis penyampaian kit bantuan keperluan asas ini telah disempurnakan oleh wakil Jabatan Sains Asas, FSK, UiTM dan juga Nazir Masjid Ar-Ridzwan, Mohd Zamri Amis.
Pihak nazir masjid mengharapkan agar program bantuan Food Bank dan juga forum kesihatan ini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang agar membuka mata semua pihak dalam menggembeling peranan para pemain industri, NGO, universiti dan masyarakat luar untuk berkolaborasi bersama dalam membantu masyarakat sekitar terutamanya masyarakat di luar bandar.