Yayasan Axiata taja 3 mahasiswa B40 UUM ke Perancis

Iklan


Yayasan Axiata bersetuju menaja tempat kepada tiga penuntut cemerlang dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk program dwi-ijazah Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Montpelllier Business School (MBS) di Perancis.

Dwi-ijazah berkenaan ialah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa (Bachelor of International Business Management- BIBM) dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Antarabangsa di Montpellier Business School, Perancis pada tahun 2024 selama setahun bagi mahasiswa semester lima dan enam.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Axiata, Mohamad Kamal berkata, pihaknya sangat gembira kerana dapat bersama dengan kampus berkenaan dalam usaha melahirkan penuntut kumpulan B40 tetapi berperwatakan global.

"Kita akan menaja mahasiswa berkenaan untuk membolehkan mereka mendapat pengalaman belajar di Perancis dengan memiliki dua ijazah serentak sekali gus membolehkan penuntut lebih mudah diterima di industri.

"Yayasan Axiata memang bertujuan untuk memperkarakan pendidikan anak-anak bangsa supaya berjaya dan akhirnya mereka akan membantu pula negara,” ujar beliau.

Mohamad Kamal berkata demikian semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara yayasan itu dengan UUM di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin, universiti tersebut baru-baru ini.

MoU ditandatangani oleh Mohamad Kamal yang mewakili yayasan manakala UUM diwakili Naib Canselornya, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan.

Perjanjian itu juga bertujuan menjalinkan usaha sama dan kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat.

Turut hadir ketika majlis berkenaan ialah Ketua Axiata Young Talent Programme & Axiata Graduate Programme, Rohaiza Ahmad; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed dan Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Profesor Madya Dr Nazariah Osman.

Dalam pada itu, Mohd Fuad menambah, kerjasama berkenaan adalah selaras dengan aspirasi universiti untuk menggerakkan dan mengaktifkan lagi jalinan dengan pelbagai pihak di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Dalam konteks ini, universiti amat berbangga mempunyai hubungan kerjasama yang akrab dan strategik dengan pihak Axiata yang merupakan sebuah syarikat gergasi telekomunikasi di dunia ini,” jelasnya dengan menambah hubungan kerjasama yang akrab dan strategik bersama Axiata akan memberi nilai tambah kepada UUM bagi mendepani cabaran dan perubahan mendadak dunia teknologi yang berkembang dan melebar luas sekarang ini.