Pendidikan Seni Visual merupakan satu subjek yang menarik untuk dipelajari dalam kalangan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
Ia merangkumi unsur seni, prinsip rekaan, asas rekaan, seni halus, komunikasi visual dan kraf.
Pendekatan dan kaedah pengajaran yang sesuai boleh dilaksanakan oleh guru pendidikan khas dalam menggilap bakat anak-anak istimewa supaya mereka lebih seronok mempelajari subjek tersebut di sekolah dalam suasana yang kondusif.
Hal ini mungkin nampak mudah pada mata sesetengah pihak, namun tahap kemahiran dan kekuatan MBPK adalah berbeza-beza serta di situlah cabaran yang perlu ditangani oleh guru secara berhemah.
1) Penggunaan pelbagai jenis media
Aktiviti seni tidak boleh tertumpu kepada penggunaan pensel dan warna pensel semata-mata. Murid perlu diajar menggunakan media lain bagi membolehkan mereka mengenali dan bereksprolasi dengan alatan mewarna seperti krayon, warna air, pelaka, cat minyak dan lain-lain.
Penggunaan media adalah berbeza bagi setiap teknik mewarna. Contohnya seperti penghasilan catan memerlukan media basah iaitu warna air. Manakala pualaman pula memerlukan cat minyak. Pembelajaran teknik-teknik tersebut akan membuatkan mereka lebih teruja dan tertarik untuk mencuba sesuatu yang baharu.
2) Perbanyakkan aktiviti dan praktikal berbanding penerangan teori
MBPK perlu melihat sesuatu yang maujud. Demonstrasi oleh guru atau kaedah tunjuk cara ialah langkah yang terbaik. Penerangan yang panjang akan menyebabkan murid berasa bosan dan tidak dapat memahami isi pengajaran yang disampaikan.
Oleh itu, murid harus mencuba sendiri dengan bantuan dan bimbingan guru dalam menghasilkan sesuatu tugasan seni. Kaedah ini merangsang minda mereka untuk berfikir, menonjolkan kreativiti dan mengingat setiap langkah kerja yang dibuat. Tambahan pula, pembelajaran abad ke-21 sememangnya menggalakkan murid terlibat dalam perlaksanaan proses kerja di dalam bilik darjah.
3) Pengaplikasian aneka teknik dalam penghasilan karya
Pelbagai kaedah dan teknik boleh diaplikasikan dalam menterjemahkan idea seni. Buah fikiran itu tidak semestinya logik atau realistik sebaliknya boleh bersifat abstrak.
MBPK perlu diberi peluang untuk meneroka aneka jenis teknik dalam penghasilan karya. Misalnya pemandangan gunung-ganang boleh dihasilkan dengan teknik mudah seperti stensilan dan basah atas basah. Manakala pokok-pokok hutan pula boleh dihasilkan melalui teknik titik-titik, tiupan, percikan dan capan.
Pengaplikasian aneka teknik tersebut akan memberi keseronokan kepada murid untuk membuat aktiviti seni visual.
4) Guru perlu kreatif dalam mengolah aktiviti seni
Pembelajaran seni visual bukan sekadar melukis di atas kertas lukisan sahaja malah boleh diolah kerja seni itu dengan kreatif.
Murid boleh melukis di atas kanvas, papan, pinggan kertas, kotak dan lain-lain bahan yang sesuai.
Selain itu, tugasan untuk unit jalinan misalnya; murid acap kali diajar untuk menampal kertas warna bagi memberi kesan jalinan sentuh pada hasil karya.
Perubahan boleh dilakukan dengan mempelbagaikan jenis bahan dan alatan waima bahan terbuang juga boleh dikitar semula menjadi karya seni mengikut kesesuaian.
5) Penghasilan karya seni secara berkumpulan
Aktiviti seni visual akan menjadi lebih mudah, cepat dan menarik apabila dilakukan secara kolaborasi.
Guru bertanggungjawab untuk mengagihkan kumpulan murid yang melibatkan pelbagai tahap kemahiran supaya adil dan hasil kerjanya lebih baik.
Aktiviti berkumpulan dan perkongsian idea seni sesama mereka juga boleh membantu meningkatkan kemahiran komunikasi. Hal ini kerana mereka perlu berinteraksi dengan rakan sekumpulan untuk menyiapkan tugasan seni tersebut. Kerjasama antara murid dapat membantu penghasilan karya yang lebih bernilai.
6) Memberi peluang kepada murid untuk menjadi mentor
Peluang perlu diberikan kepada MBPK untuk menjadi ketua atau pemimpin. Sifat segelintir murid suka menonjolkan diri dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Bermula daripada penyediaan bahan dan alatan di rak seni sehingga proses kerja serta secara tidak langsung pembinaan watak seorang pemimpin dapat diserlahkan.
Tidak salah jika murid mencuba untuk membantu dan mengajar rakan lain melaksanakan tugasan seni biarpun ada kekurangan. Tambahan jika aktiviti yang melibatkan kemahiran sukar seperti memotong kadbod tebal, menampal menggunakan glue gun dan reka cipta. Guru harus memberi arahan dan memantau setiap tugasan yang diberikan.
Secara tidak langsung, amalan ini dapat memupuk nilai murni dan memudahkan tugasan bagi murid yang lemah. Mereka akan menjadi suri teladan yang baik kepada rakan yang lain.
7) Peneguhan positif kepada murid
Guru wajar memberi peneguhan positif kepada usaha murid dalam melaksanakan tugasan seni. Pujian, pemberian token dan penghargaan boleh memberi motivasi kepada murid untuk lebih meminati aktiviti seni.
Hasil kerja murid juga boleh dipamerkan sama ada di dalam kelas, galeri di sekolah atau pameran di tempat tumpuan ramai. Lebih menarik lagi jika karya seni mereka boleh dijual dan memperoleh pulangan yang lumayan.
Sebagai kesimpulannya, pendekatan dan kaedah terbaik yang diamalkan oleh guru dalam mendidik MBPK berperanan penting ke arah pemupukan minat murid terhadap mata pelajaran pendidikan seni visual di sekolah.
Bakat mereka harus diasah agar dapat membuka peluang ke kerjaya selepas tamat sesi persekolahan kelak. Sesungguhnya guru adalah pemangkin kemenjadian murid untuk lebih cemerlang dan beroleh kejayaan.
Maklumat Penulis
Guru pendidikan khas, SMK Datuk Haji Abdul Wahab, Sungai Siput (U), Perak, Mohd Saifullah Abd Rahim