Seramai 3,200 mahasiswa baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) melafazkan ikrar Rukun Negara dalam program Eksplorasi Rukun Negara Peringkat Institut Pendidikan Tinggi di universiti terbabit pada Isnin.
Menurut Pengerusi Jemaah Pengetua UPM, Profesor Madya Dr Amini Amir Abdullah, program yang dibuat sempena Minggu Perkasa Putra sesi 2023/2024 itu menyokong aspirasi nasional untuk memperkukuh semangat kenegaraan yang kental terutamanya dalam kalangan mahasiswa.
Beliau berkata, UPM menyokong hasrat Kementerian Perpaduan Negara (KPN) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat umum, semangat patriotisme dan kenegaraan serta penjenamaan Rukun Negara di peringkat universiti.
Terdahulu, universiti berkenaan merupakan universiti pertama yang dipilih oleh KPN untuk mahasiswa-mahasiswa baharu melafazkan ikrar Rukun Negara dalam siri Kembara Perpaduan KPN.
Sementara itu, seramai 300 staf UPM dan KPN turut serta melafazkan ikrar Rukun Negara termasuklah Ketua Setiausaha KPN, Datuk Azman Mohd Yusof dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, Fatin Amira Mohd Hisham.
Sebagai rekod, Program Eksplorasi Rukun Negara merupakan antara program menarik untuk penuntut-penuntut baharu UPM sesi 2023/2024 menerusi program Minggu Perkasa Putra UPM yang diadakan pada 2 hingga 7 Oktober ini.