Demi meningkatkan potensi diri dalam kalangan pelajar, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kelantan bertindak proaktif dengan menganjurkan program Budi Holistic Development Programme MRSM Zon Timur Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Bitara, MRSM tersebut baru-baru ini.
Program yang berlangsung pada 29 September hingga 2 Oktober 2023 itu telah disertai 14 buah MRSM Zon Timur membabitkan 272 pelajar Tingkatan Tiga dan Empat serta 28 guru pengiring.
Budi Holistic Development Programme MRSM Zon Timur Peringkat Kebangsaan 2023 menyajikan pelbagai pengisian menarik kepada peserta yang mengikutinya.
Sementara itu, Pengetua MRSM Pengkalan Chepa, Ahmad Naszeri Salleh berkata, program yang berlangsung selama empat hari itu turut menghimpunkan ramai pakar dan kelompok guru cemerlang untuk berkongsi ilmu masing-masing demi meningkatkan lagi tahap kecemerlangan pelajar dalam pendidikan.
"Diharapkan program ini dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi secara efektif dalam diri pelajar dan menjadi batu loncatan untuk mereka lebih berjaya pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Hussin menzahirkan rasa terharunya terhadap inisiatif dan kerja keras warga MRSM yang telah mengusahakan program berkenaan termasuklah pihak-pihak lain seperti organisasi dan rakan strategik.
"Oleh itu, inisiatif program ini diwujudkan adalah sangat tepat bagi memberi peluang kesamarataan kepada mereka untuk mendapatkan pendidikan terbaik di MRSM,” ujarnya.