Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) kini membuka peluang pengajian kepada pelajar Chongraksat Wittaya School, Pattani, Thailand yang berminat menyambung pengajian di kolej berkenaan.
Timbalan Rektor Akademik dan Antarabangsa KUIPs, Profesor Madya Dr Abdul Basir Awang @ Mohd Ramli dalam sesi kunjungan KUIPs ke Chongraksat Wittaya School baru-baru ini, menerangkan kepada mereka mengenai program yang ditawarkan untuk sesi Februari dan September setiap tahun.
Katanya, pelajar boleh melanjutkan pengajian di Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Al Quran dan Sunnah, Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam serta Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan.
Tambah beliau, bagi yang memenuhi syarat pula, KUIPs akan menaja sepenuhnya yuran pengajian, wang sara diri dan juga penginapan.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyerahkan buku sumbangan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka kepada Pengerusi Chongraksat Wittaya School, Waeda- oh Waeduereh serta berharap kunjungan tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka terutama untuk pelajar-pelajar menyambung pelajaran ke KUIPs.
Chongraksat Wittaya School yang mempunyai 3,512 pelajar sekolah rendah dan menengah ini terletak di Pattani.
KUIPs yang ditubuhkan pada Mac 2013 dengan pengambilan pertamanya pada 15 Mei 2014 ketika itu mempunyai pelajar seramai 61 orang dan kini jumlah meningkat kepada 1,088 pelajar dari Malaysia manakala antarabangsa pula berjumlah 171 orang dari lebih 15 negara.
Pelajar antarabangsa ini terdiri dari Indonesia, Thailand, Nigeria, Myanmar, Sudan, Bangladesh, Vietnam, Mali, Kemboja, Palestin, Tunisia, Ghana, Algeria, Jordan dan Yaman.