Sebanyak 20 buah sekolah rendah dan menengah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor telah terlibat dalam Program Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) yang diadakan di Dewan Gemilang Saujana Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.
Program anjuran Sinar Bestari dengan kerjasama Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor itu melibatkan 10 buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Utama, SK Dato’ Manan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tuan Mee, SK Tambak Jawa, SJKT Bestari Jaya, SK Assam Jawa, SK Bandar Baru, SK Sungai Burong, SK Seri Prsitana dan SK Tanjung Keramat.
Turut serta 10 buah sekolah menengah seperti SMK Tiram Jaya, SMK Sultan Sulaiman Shah, Sekolah Agama Menengah (SAM) Jeram, SMK Puncak Alam 3, SMK Kuala Selangor, SMK Raja Muda Musa, SMK Seri Tanjong, SAM Tanjong Karang, SMK Dato’ Harun dan SMK Pengkalan Permatang.
Menurut Penolong PPD Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan, Muhaimin Che Mansor, Jelajah TV PSS yang dianjurkan itu dilihat satu usaha yang bagus dalam menerapkan etika kewartawanan bermula peringkat sekolah.
Katanya, penglibatan pihak Sinar Karangkraf melalui Sinar Bestari sebagai pemain industri adalah bertepatan dalam memberi pendedahan kepada mereka tentang perkembangan terkini dunia media dan kewartawanan.
"Program Jelajah TV PSS ini adalah satu gambaran bagus dengan adanya wakil wartawan dan juruvideo dari pihak industri sendiri dalam menyampaikan ilmu yang tidak dapat diperoleh di bilik darjah.
"Bagi saya ia seharusnya diteruskan lagi pada masa akan datang selain turut memperluaskannya melalui penglibatan lebih banyak sekolah,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari pada program Jelajah TV PSS pada Khamis.
Selain itu, guru SMK Kuala Selangor, Cikgu Muhammad Faizal juga berkata, pendedahan dan ilmu yang diterima melalui program berkenaan dapat dijadikan sebagai latihan buat pelajar dalam mengangkat TV PSS sekolah masing-masing.
"Pelajar sekolah rendah dan menengah hari ini bukan sahaja dapat mempelajari ilmu kewartawanan dan cara penggunaan kamera tetapi ia juga boleh dijadikan latihan buat mereka.
"Melalui pendedahan ini mereka mampu mengasah lagi bakat sedia ada dalam usaha untuk terus mengangkat TV PSS sekolah masing-masing,” ujarnya.
APA KATA MEREKA
1)"Program hari ini sangat seronok kerana saya dapat belajar bagaimana menjadi seorang wartawan dan sekiranya ia diadakan lagi pada masa akan datang saya pasti akan menyertainya.” - Muhamad Aisy Irfan Amir, Tahun Empat SK Dato’ Manan
2)"Saya sangat seronok menyertai program Jelajah TV PSS kerana dapat menambah ilmu tentang dunia kewartawanan dan media.” - Venthan, Tahun Lima SJKT Ladang Tuan Mee
3)"Sejak terlibat dengan TV PSS sewaktu di Tahun Tiga membuatkan saya rasa ingin teruskan sehingga ke peringkat pengajian tertinggi sebab saya memang bercita-cita ingin menjadi wartawan. Tambahan pula dengan ilmu yang dipelajari pada program hari ini membuatkan saya lebih yakin untuk mengejar cita-cita tersebut.” Nur Anis Sufiyya Mohd Fazli, Tahun Lima SK Saujana Utama
4)"Program ini mengajar saya dengan lebih mendalam tentang penggunaan kamera dan cara bagaimana untuk menetapkan sudut kamera yang sesuai bagi sesebuah rakaman video memandangkan saya juga merupakan pengarah untuk TV PSS sekolah.” - Siti Suzanna Mohd Nizam, Tingkatan Tiga SMK Dato’ Harun
5)"Pada awalnya saya sertai TV PSS ini sekadar suka-suka tetapi apabila sudah terlibat secara langsung baru saya sedar aktiviti dalam program ini sangat seronok.” - Muhammad Haikal Rahman, Tingkatan Empat SMK Pengkalan Permatang
6)"Sebelum ini saya tidak pandai tentang penggunaan kamera dan green screen, tetapi dengan pendedahan melalui TV PSS membuatkan saya lebih memahami tentang perkara tersebut.” - Nur Suffiya Najeha Faizal, Tingkatan Lima SMK Raja Muda Musa