KOMBET tarik minat dan kreativiti pelajar tentang subjek Sejarah

Iklan

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amanjaya, Sungai Petani, Kedah menganjurkan program Inovasi Sejarah (KOMBET) baru-baru ini bertujuan menarik minat dan mempertingkatkan pengetahuan pelajar mengenai mata pelajaran Sejarah.

Seramai 306 orang pelajar dari enam buah sekolah sekitar Amanjaya telah menyertai KOMBET yang merupakan program tahunan di bawah bidang Kemanusiaan.

Iklan
Iklan

Menurut Pengetua Cemerlang SMK Amanjaya, Zainurin Mat Noor, sekolah-sekolah yang terlibat adalah terdiri daripada Sekolah Menengah Agama (SMA) Sungai Petani, SMA Pekan Guru, SMK Taman Ria Jaya, SMK Bedong, Sekolah Kebangsaan (SK) Amanjaya dan SK Sungai Lalang.

"Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan antaranya pameran dan demonstrasi pembuatan batu bata daripada Pusat Arkeologi Sungai Batu yang diketuai Dr Mohd Hasfarisham Abd Halim.

Iklan

"Turut termasuk, buku skrap tokoh Panitia Kesusateraan Tamil dan pameran bermaklumat kerjasama Panitia, PJK dan Geografi," ujarnya.

Sementara itu, Guru Bidang Kemanusiaan, Cikgu Norhayati Abd Rajak merangkap Penyelaras Program berkata, pelajar dilihat begitu teruja untuk melibatkan diri secara aktif.



Program dirasmikan oleh Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda/Yan iaitu Ishak Zulkifli (dua dari kanan).

Iklan

Jelas beliau, mereka bukan sahaja berjaya menghasikan satu replika yang menarik malah dapat mempersembahkan hasil dapatan kajian dengan begitu bersemangat.

Dalam pada itu, Ketua Panitia Sejarah, Cikgu Seylvili Angiah menyatakan bahawa program ini dirancang untuk melahirkan pelajar yang berketerampilan, kreatif dan inovatif serta mempunyai semangat patriotisme.

Ia bersesuaian dengan tema program tersebut iaitu ‘Pelajar Kreatif Pencetus Inovatif’.

Dalam perkembangan sama, murid SK Sungai Lalang, Muhammad Ifran Hazim dan Rizwana Yasara Rozaimie dari SK Amanjaya turut melahirkan rasa gembira dan seronok kerana dapat menyertai pelbagai aktiviti di reruai pameran yang disediakan.

Mereka berharap, program tersebut tidak terhenti dan dapat diteruskan ke peringkat yang lebih jauh.





INFO

Maksud KOMBET

1) K merujuk kepada kumpul maklumat atau melakukan kajian serta Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

2) O bermaksud menghasilkan penulisan folio berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

3) M, mereka cipta replika

4) BE, bentang segala hasil kerja yang dilakukan

5) T tanding iaitu segala hasil kerja dipertandingkan dan akan dinilai oleh panel hakim.