Dua kumpulan inovasi dari Fakulti Pertanian (FP), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengharumkan nama universiti apabila meraih johan dan naib johan pada pertandingan inovasi Smart Farming bagi kategori institut pengajian tinggi (IPT) baru-baru ini.
Inovasi Sistem Hibrid Dutch Bucket yang mengetengahkan penggunaan baldi sebagai pot tanaman sayuran berbuah berjaya mendapat johan manakala inovasi Sistem Venturi: Penyuntik Baja Pintar pula meraih naib johan.
Kemenangan yang dirangkul itu diraih menerusi Karnival Agrotek MADANI @ KVKPM 2023 Peringkat Kebangsaan di Kolej Vokasional Pasir Puteh, Kelantan anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).
Ketua Kumpulan Dutch Bucket, Amir Taufiq Sabuddin berkata, kemenangan itu membakar semangatnya dan tiga lagi ahli kumpulan untuk terus melakukan inovasi dalam teknologi pertanian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
"Syukur atas kemenangan yang diperoleh. Kami akan terus mencipta inovasi pertanian baharu supaya dapat diaplikasikan oleh pekebun kecil, pengusaha dan komuniti dalam membantu mereka menambah produktiviti dan meningkatkan hasil pengeluaran tanaman.
"Sistem Hibrid Dutch Bucket adalah gabungan sistem akuaponik dan hidroponik. Melalui sistem ini, sisa buangan dari sistem ternakan ikan (akuaponik) digunakan semula sebagai sumber nutrien kepada tanaman melalui kaedah hidroponik,” ujarnya.
Beliau menambah, kaedah tersebut sesuai digunakan dalam kalangan komuniti dengan amalan penghasilan tanaman tanpa berlakunya pembaziran serta penggunaan baldi dari bahan terpakai untuk dijadikan pot tanaman.
Iklan
Iklan
Sementara itu, kumpulan inovasi yang merangkul naib johan dan diketuai Muhammad Syahrizan Saharudin membawa sistem pembancuhan baja secara automatik menggunakan venturi injektor yang boleh menarik air baja dengan hanya mengawal perbezaan tekanan bendalir tanpa bantuan mekanikasi elektrik.
"Sistem ini menjimatkan masa pembancuhan baja sehingga 92 peratus berbanding kaedah pembancuhan manual dan hanya memerlukan seorang pekerja untuk memantau operasi. Jadi secara tidak langsung meningkatkan efisyen kerja,” jelasnya.