Enam pasangan kembar memilih untuk melanjutkan pengajian mereka ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi kemasukan sesi 2023/2024.
Pasangan kembar berusia 19 tahun dari Alor Setar, Kedah iaitu Nurin Najla Izhan dan Nurin Najma Izhan menjadikan UUM sebagai pilihan utama memilih program Sarjana Muda Perakaunan di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz.
Mereka yang merupakan lepasan Kolej Matrikulasi Kedah dengan purata gred kumulatif (CGPA) 4.0 berkata, program perakaunan menjadi pilihan pertama ketika mengisi UPUOnline dan bersyukur kerana dapat mengejar cita-cita di universiti utara tanah air itu.
"Kami mengharapkan untuk sambung belajar ke UUM kerana mempunyai minat dalam bidang perakaunan semenjak di bangku sekolah lagi, perasaan menjadi sangat teruja apabila terpilih ke UUM, tambahan pula persaingan begitu sengit untuk mendapat tempat bagi program pengajian ini,” kata Nurin Najla.
Perkara tersebut diakui Nurin Najma kerana mereka juga tidak perlu berjauhan dengan keluarga mereka.
Dalam pada itu, satu lagi pasangan yang membuat pilihan pertama belajar di UUM ialah Nur Alina Khirruddin dan Nur Aliza Khirruddin yang mengikuti program Sarjana Muda Logistik.
Mereka yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Cempedak, Yan, Kedah tidak menyangka pilihan pertama untuk ke UUM menjadi kenyataan.
Pasangan lepasan Diploma Politeknik Syed Sirajudin, Perlis iaitu Ainun Sakinah Mohd Khairil dan Ainun Shakirah Mohd Khairil, 21, pula memilih untuk melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Muda Pengurusan Acara.
Pasangan kembar lain yang turut mendaftar di UUM termasuklah Azfar Haruya dan Malikah Asna Amir Syahrul, 19, yang merupakan kembar tidak seiras.
Kedua mereka adalah lepasan Kolej Matrikulasi Gopeng, Perak memilih bidang perakaunan.
Begitu juga Nureen Farahanie Mohd Nizam dan Nureen Farahanis Mohd Nizam, 21, dari Rawang, Selangor di mana kedua-duanya memilih program pengajian sama iaitu Sarjana Muda Pentadbiran.
Selain itu, Siti Rohayu Ma’song dan Siti Rohana Ma’song, 20, dari SMK Pasir Mas, Kelantan memilih pengajian bidang kaunseling.
Kesemua pasangan kembar bersama tujuh penuntut Orang Asli antara penuntut yang mewarnai kemasukan mahasiswa baharu UUM berjumlah 3,879 pelajar.