Belanjawan Madani Kedua menyediakan RM250 juta untuk menggantikan dan meluaskan capaian jalur lebar (internet) di semua universiti awam.
Ia termasuklah RM5 juta bagi melaksanakan projek pendigitalan hospital pengajar universiti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RM300 juta turut disediakan bagi menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT serta menggantikan peralatan lama yang usang.
"Kecemerlangan pendidikan tinggi diukur pada kejayaan melahirkan bakat-bakat muda yang berjaya dan universiti sebagai gudang ilmu perlu siap siaga membekalkan mahasiswa dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan.
"Untuk itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diperuntukan sebanyak RM16.3 bilion,” katanya pada Bajet Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Bukan itu sahaja, Anwar turut menambah, kerajaan akan terus menggalakkan komuniti rentan seperti orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, ibu Tunggal dan warga emas mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti.