Politeknik, kolej komuniti bentang 15 penyelidikan dan 83 inovasi di Festival Agro Makanan dan Bioteknologi   

Iklan


Kolej komuniti dan politeknik di negara ini terus menyerlah dalam bidang penyelidikan apabila berjaya membentangkan sebanyak 15 kertas penyelidikan dan 83 projek inovasi pada Festival Agro Makanan dan Bioteknologi (FAMB) bagi tahun 2023 di Kolej Komuniti Jelebu (KKJU), Negeri Sembilan baru-baru ini.

Sebanyak lima politeknik dan 13 kolej komuniti seluruh Malaysia telah membentangkan hasil penyelidikan, inovasi masing-masing dan antara bidang yang diketengahkan ialah agroteknologi, bioteknologi, teknologi makanan, akuakultur, teknologi hijau, sains persekitaran sains sosial dan kategori khas sijil asas bagi pelajar orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran.

Pada festival tersebut, penuntut Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Pagoh, Johor, Dina Izzaty Moohyidin telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kertas Penyelidikan Terbaik dengan kertas penyelidikan bertajuk The Effects of Lipid Addition on the Quality Factor and Physicochemical Properties of Rice Starches.

Bagi kategori inovasi pula, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail sekali lagi berjaya menggondol Anugerah Inovasi terbaik melalui projek Barley Yakgwa with Ixora Flower Jam.

Seterusnya, Kolej Komuniti Selandar Melaka berjaya membawa pulang Anugerah Inovasi Terbaik kategori khas melalui projek inovasi Light Weight Ferro manakala KKJU meraih tiga pingat emas melalui produk inovasi Yummy Ice Cream, Sos Cili Belimbing Buluh dan GA Tea.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya JPPKK, Ts Zulkurnain Shahadan di Dewan D’Sury, Kuala Klawang.

Turut hadir, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi JPPKK, Dr Riam Chau Mai dan Pengarah KKJU, Ishamuddin Ishak.

Sementara itu, Zulkurnain dalam ucapannya melahirkan harapan agar FAMB 2023 akan menjadi platform terbaik untuk para peserta berkongsi idea, ilmu dan hasil penyelidikan yang boleh memartabatkan bidang TVET negara disamping menjadikan penyelidikan dan inovasi sebagai budaya dalam kalangan warga politeknik dan kolej komuniti.

FAMB 2023 mengangkat tema Teknologi Agro Memacu Masyarakat Madani yang bermatlamat untuk menjenamakan semula bidang pertanian ke arah yang lebih inklusif, dinamik dan seiring dengan perkembangan teknologi serta sebagai suatu usaha memperkukuh sekuriti makanan negara seperti yang terkandung dalam Dasar Agro Makanan Negara 2021-2023 (DAN 2.0).