Penyelidik muda Malaysia dalam bidang Sains dan Matematik diiktiraf di persada dunia

Iklan
Shazlyn Milleana (gambar kiri) ketika mengikuti Forum Matematik dan Sains Komputer September lalu.

Seorang penyelidik muda negara ini iaitu TS Dr Shazlyn Milleana Shaharudin telah terpilih menyertai Forum Matematik dan Sains Komputer anjuran Heidelberg Laureate Forum Foundation (HLF) di Heidelberg, Jerman baru -baru ini.

Forum yang diadakan pada 23 hingga 29 September lalu merupakan program tahunan pihak HLF yang dibiayai penuh oleh Klaus Tschira Stiftung (KTS) iaitu sebuah badan organisasi yang tidak berasaskan keuntungan dalam menyokong penyelidikan berkaitan Matematik dan Sains Pengkomputeran.

Iklan
Iklan

Ketika dihubungi Sinar Bestari, Shazlyn Milleana yang merupakan pensyarah Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan penyelidik bersekutu di Columbia Water Center, Columbia University, New York, USA melahirkan rasa terkejut kerana diberi peluang mengikuti forum berkenaan.

"Sesungguhnya saya rasa terharu dengan pengiktirafan yang diberikan oleh pihak luar di dalam kerja-kerja penyelidikan yang saya jalankan selama ini.

Iklan

"Saya berharap dengan pengiktirafan sebegini sedikit sebanyak dapat membantu mengharumkan nama Malaysia di persada dunia sekali gus membantu negara untuk terus melangkah maju ke hadapan dalam bidang penyelidikan setanding dengan negara-negara maju yang lain," ujarnya yang mendapat tajaan penuh daripada salah sebuah syarikat di Jerman yang bekerjasama dengan pihak HLF di bawah dana Skylab Grant dengan anggaran tajaan €2000 bersamaan RM 10,000 meliputi perjalanan, penginapan dan sara hidup sepanjang program berlangsung di Jerman.

Terdahulu, Forum Matematik dan Sains Komputer berkenaan merupakan forum terbesar di Eropah bagi bidang Matematik dan Sains Komputer.

Iklan

Ia mengumpulkan pakar-pakar dalam bidang tersebut yang telah memenangi pelbagai anugerah berprestij seperti The Abel Prize, ACM A.M. Turing Award dan ACM Prize in Computing.

Program ini merupakan satu program sangat bermanfaat kerana pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti ceramah, penglibatan sosial, bimbingan rapat dan rangkaian kerjasama antara pakar-pakar dalam bidang masing-masing bersama penyelidik muda yang telah dipilih oleh pihak HLF.

Antara perkara yang diketengahkan di forum berkenaan adalah peluang kerjaya penyelidik muda dalam bidang Matematik dan Sains Komputer di era globalisasi ini.

Menerusi forum tersebut, ia secara tidak langsung telah dapat membuka mata kepada penyelidik muda dalam memperkembangkan kerjaya mereka untuk pergi ke peringkat yang lebih jauh dan mencari peluang yang bukan sahaja di negara sendiri bahkan di seluruh dunia.

Dengan menyertai program ini juga, penyelidik muda dapat meluaskan rangkaian kerjasama bersama penyelidik lain di seluruh dunia dalam merentasi bidang kepakaran masing-masing bagi kerjasama yang akan dijalinkan pada masa akan datang.

Kepada yang berminat untuk menyertai program ini, permohonan bagi penyelidik muda akan dibuka awal November setiap tahun dan maklumat lanjut boleh dilayari menerusi laman sesawang https://www.hlf-foundation.org/.