Latar belakang bapa yang bekerja sebagai penoreh getah menjadi pemangkin semangat buat graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk meraih Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen yang diadakan di Dewan Sultan Mizan, Kuala Terengganu, Terengganu pada Ahad.
Selain menerima anugerah itu, Mohamad Mukramin Samrah, 24, yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang turut merekodkan pencapaian cemerlang dengan meraih Sijil Kepujian Dekan selama lapan semester berturut-turut.
Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, dia bersyukur dan lega kerana berjaya menggembirakan bapanya, Samrah Abu Bakar, 74, dan ibunya, Laila Abdul Rahman, 60, seorang suri rumah.
"Kakak pula sering menasihatkan saya untuk fokus belajar bermula tahun pertama supaya impian untuk bergelar graduan terbaik akan tercapai,” katanya ketika ditemui selepas sidang pertama istiadat Konvokesyen UMT di Dewan Sultan Mizan, di sini pada Ahad.
Menurut Mohamad Mukramin, walaupun bekerja sebagai penoreh getah, bapanya tidak pernah jemu memberi dorongan sekali gus menjadi sumber kekuatan buat dirinya.
Penuntut program Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) itu mengakui, semangat untuk mengubah nasib keluarga turut menjadi pemangkin terhadap kejayaan yang dikecapinya itu.
Selain kecemerlangan akademik, Mohamad Mukramin turut bergiat aktif di luar kuliah dengan menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum terutama dalam badan beruniform Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswa (Kor SUKSIS).