Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan setiap peralatan sukan di sekolah diaudit bagi menjamin keselamatan murid ketika menggunakannya semasa melakukan aktiviti bersukan.
"Fasiliti pembangunan sukan perlu diberi tumpuan. Di peringkat KPM selain peruntukan berkaitan sukan, kami juga sedang melihat bagaimana nak pastikan peralatan sukan (di sekolah) diaudit agar ia berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan anak-anak,” katanya selepas merasmikan Padang Sintetik Soon Ah Koon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serdang, Selangor pada Ahad.
Menurutnya, dasar 1M1S juga akan diperluaskan agar kesemua murid mempunyai akses kepada permainan dan sukan sekali gus menjayakan aspirasi ke arah membudayakan sukan dalam kehidupan supaya generasi lebih sihat.
"Pembudayaan sukan harus bermula dari peringkat awal persekolahan. Paling penting dalam konteks keseluruhan, holistik pembangunan karektor (murid) ini termasuklah dalam sukan.
"Kami juga sedang berusaha agar seboleh-bolehnya sukan ini dapat menjadi medium perpaduan dalam kalangan pelajar,” ujarnya.
"Padang sintetik bernilai lebih RM700,000 ini akan memberi impak cukup besar dalam pembangunan sukan anak-anak. Saya ucapkan tahniah kepada sekolah dan lembaga pengurusan sekolah yang berusaha memastikan fasiliti sukan sekolah berada pada tahap terbaik,” ulasnya. - BERNAMA