Bidang keusahawanan pada hari ini menjadi salah satu kerjaya peneraju pembangunan sistem ekonomi yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan khususnya dalam kalangan mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT).
Ia turut disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menambah tumpuan latihan dan peningkatan bakat baru dalam bidang berpotensi ini antaranya ekonomi Islam.
Untuk itu, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah menubuhkan Makmal Keusahawanan pertama baru-baru ini.
Makmal ini diselia oleh Penyelaras The Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED) fakulti, Dr Farahdewi Bee yang sentiasa memastikan elemen keusahawanan wujud dalam aktiviti yang dijalankan para penuntut.
"Saya berharap agar usaha ini mampu melahirkan sebilangan mahasiswa yang berdaya saing.
"Malah, mereka juga berani mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan dalam bentuk pinjaman, bantuan dan sebagainya pada masa depan,” katanya.
Penubuhan Makmal Keusahawanan berkenaan membuktikan pihak pengurusan komited dalam memberi peluang dan ruang kepada mahasiswanya untuk mengasah bakat sebagai usahawan.
Selain itu, penuntut berpeluang berniaga dengan mendaftar bagi mendapat rak atau ruang untuk mempamerkan barangan jualan mereka dan pendaftaran pula dibuka kepada mana-mana individu, kelab-kelab dalaman serta persatuan.
Dengan penubuhan Makmal Keusahawanan ini, warga UiTM boleh mendapatkan makanan dan minuman pilihan sebelum ke kelas atau pada bila-bila masa bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
Sementara itu, UiTM secara amnya mempunyai kemampuan untuk melahirkan bakat dalam bidang keusahawanan.
Inisiatif tambahan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UiTM yang diketuai Timbalan Naib Canselor HEP, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi telah dijalankan dengan penubuhan ekosistem baharu sektor keusahawanan dengan meluaskan peluang perniagaan kepada mahasiswa melalui pemindahan Unit Ruang Niaga kepada HEP dalam program Koridor Keusahawanan Mahasiswa Kolej Kediaman.