Bagi melahirkan mahasiswa yang berdaya saing secara holistik dalam bidang keusahawanan, penyelidikan dan inovasi, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Festival Antarabangsa Agroteknologi (FAA 2023) baru-baru ini.
Penganjuran program yang melibatkan kerjasama dengan Institute of Brunei Technical Education (IBTE) itu telah berlangsung di Auditorium Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei.
Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kamaludin Daud berkata, penganjuran program sebegini memberi impak besar kepada penuntut serta institut bagi kedua-dua buah negara sejajar dengan matlamat Asian TVET Council (ATC).
"ATC ini membawa misi untuk membangunkan modal insan yang berdaya saing dan membekalkan tenaga kerja yang lebih relevan dalam memenuhi kehendak industri, pasaran tempatan serta antarabangsa.
"Ia juga untuk menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi dalam bidang ekonomi digital dan menghasilkan komuniti ASEAN yang lebih inovatif,” ujarnya.
Tidak hanya itu, pelaksanaan FAA 2023 juga adalah sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu Lonjakan 1 (Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang), Lonjakan 7 (Ekosistem Inovasi) dan Lonjakan 8 (Keunggulan Global).
FAA 2023 disempurnakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Tuan Yang Terutama Raja Datuk Reza Raja Zaib Shah selaku tetamu kehormat majlis.
Pada majlis yang sama juga, turut diadakan upacara Menandatangani Agreed Minutes of Meeting (AMM) antara POLISAS dan IBTE melibatkan Pengarah POLISAS, Norehan Silek bersama Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Mohd Zamri Sabli.
Sempena FAA 2023, pelbagai aktiviti menarik telah disediakan antaranya Program Pertukaran Pelajar SEA-TVET (2nd SEAMEO TVET Student Exchange Programme) antara POLISAS dan IBTE dengan penglibatan seramai 12 mahasiwa daripada kedua-dua buah institusi dan International Conference on Agrotechnology, Food Science and Technology (ICAFST 2023) yang memfokuskan kepada bidang agroteknologi, sains dan teknologi dengan 58 penyertaan.
Selain itu, aktiviti seperti Pertandingan Produk Inovasi (PIC 2023), sesi perkongsian ilmu bertajuk Memacu Inovasi dan Penyelidikan ke Arah Kemampanan Teknologi menerusi program Panel Talk oleh pihak industri iaitu IDEAL Multifeed Farm (B) Sdn Bhd, Eco Agro Farm (Brunei) dan Flavorista (M) Sdn Bhd (Malaysia).
Seterusnya, mahasiswa POLISAS dan IBTE yang terlibat turut melaksanakan aktiviti khidmat kemasyarakatan seperti membersihkan kawasan persekitaran Pusat Autisme Brunei Bagi Orang Dewasa (BACA) di samping aktiviti-aktiviti lain seperti riadah dan mendaki Bukit Sipatir, Bandar Seri Begawan serta membuat ambuyat.