Kira-kira 600 warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terdiri dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan kampus memeriahkan Malam Cinta Rasul dan Muzikal Dakwah 2023 di Pusat Komersil USIM baru-baru ini.
Program anjuran Media Home Communication dengan kerjasama USIM itu telah menyediakan pelbagai aktiviti kepada mereka yang hadir pada hari tersebut.
Antara yang berlangsung adalah tazkirah khas disampaikan pendakwah terkenal, Ustaz Naim Saadon; alunan selawat dan qasidah yang diketuai Soutul Muazzin; persembahan nasyid oleh Ustaz Tiga Beradik iaitu Ustaz Ihsan Daud, Ustaz Hariri Daud dan Ustaz Zarifi Daud serta penampilan khas penyanyi terkenal tanah air, Mawi.
Ustaz Naim dalam tazkirahnya berkata, ikhlas mentaati serta mencintai ALLAH dan Rasul akan mendapat keseronokan dalam melakukan ibadah.
"Jadi, jagalah perkara-perkara fardu dan memperbanyakkan amalan sunnah serta sentiasa mengingati Rasulullah dengan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Media Home, Shahir Adnan berkata, program berkenaan akan menjadi pencetus rasa cinta dan kasih kita kepada Nabi Muhammad sepanjang masa.
"Disaat berada dalam majlis yang penuh barakah ini, tidak lupa juga saya ingin mengingatkan kepada semua agar turut bersama-sama bersolidariti terhadap saudara kita di bumi Palestin dan sentiasa mendoakan nasib warga di Gaza," ujarnya yang berharap dapat merealisasikan program sebegini lagi di universiti itu pada masa akan datang.
Maklumat Penulis
Mahasiswa USIM, Siti Zuraini Norizam dari kelas ACJ3083