Demi menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin yang sedang sengsara dan menderita berikutan konflik terbaharu Palestin-Israel, lebih 3,000 warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghadiri Forum Palestin Masa Untuk Kebangkitan di Kompleks Islam Tuanku Mukriz, USIM pada Khamis.
Selain warga USIM, beberapa individu dikenali ramai seperti selebriti Heliza Helmi dan Hazwani Helmi (The Helmis) serta Ketua Aktivitis Kemanusiaan Mapim Malaysia, Dr Sani Araby Datuk Abdul Alim Araby turut hadir sekali gus dijemput sebagai panel jemputan.
Menurut Heliza, mahasiswa disaran menggunakan media sosial masing-masing untuk menyebarkan fakta sahih tentang isu Palestin.
Malah, beliau turut menyeru agar semua penuntut dan rakyat Malaysia memperbanyakkan doa untuk kemenangan dan kesejahteraan umat Islam di negara tersebut.
Sementara itu, Sani Araby turut menegaskan penggunaan media sosial mampu membawa suara warga USIM ke serata dunia.
"Gunakan setiap platform yang ada untuk sebarkan isu Palestin supaya seluruh masyarakat mendapat maklumat yang betul,” tegas Dr Sany.
Secara tuntas, para panel berharap lebih ramai anak Malaysia sedar dan cakna terhadap isu Palestin dan terus semangat menyebarkan berita mengenai apa yang berlaku terhadap penduduk di sana.
Sebelum itu, Forum Palestin Masa Untuk Kebangkitan yang dianjurkan Malaysian Consultative Council of Islamic Organization (MAPIM) memulakan program dengan melaungkan takbir bersama ahli panel selain mengangkat poster Israel Cuak dan bendera Palestin sebagai tanda solidariti mereka kepada keadaan yang berlaku kini.
Maklumat Penulis
Mahasiswa USIM, Nur Diyana Mohd Wazir dari kelas ACJ3083