Sasaran Management and Science University (MSU) untuk mencapai kedudukan ke-155 dalam kalangan 18 peratus universiti terbaik Asia dilihat berada di landasan yang betul apabila berjaya melonjak 22 anak tangga dalam laporan Quacquarelli Symonds QS Asia University Rankings 2024.
Pencapaian itu sekali gus meletakkan MSU ketika ini berada pada kedudukan ke-14 universiti terbaik di Malaysia berbanding tangga ke-177 pada tahun lalu.
MSU dalam satu kenyataan memaklumkan, penarafan QS Asia University Ranking 2024 adalah berdasarkan kepada pencapaian terbaik universiti itu merangkumi 11 indikator yang merangkumi pertukaran keluar pelajar (tangga keenam), nisbah pelajar antarabangsa (tangga ke-19) dan nisbah fakulti antarabangsa (tangga ke-24).
Selain itu, MSU turut mencapai kedudukan ke-30 dalam indikator pertukaran masuk pelajar serta tangga ke-125 dari segi reputasi majikan.
"Kejayaan ini membuktikan MSU berada di landasan yang tepat dengan matlamat dan visi utamanya dalam melahirkan graduan yang mempunyai personaliti seimbang, holistik dan kompeten serta mencapai standard di peringkat antarabangsa,” kata MSU dalam kenyataan tersebut yang dikeluarkan baru-baru ini.
MSU mula disenaraikan dalam QS Asia University Ranking pada 2018 dan sejak itu, universiti tersebut secara konsisten menunjukkan potensi yang positif sekali gus memperkasakan kualiti dan akses pendidikan tinggi di Malaysia, rantau Asia serta di peringkat global.
Malah, MSU sentiasa memberikan penekanan terhadap pembangunan minda graduan yang berkemahiran berfikir aras tinggi melalui penerapan indikator seperti industri, keusahawanan, warga global melalui program mobiliti, komponen penyelidikan, program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kebudayaan merentasi komuniti dan pendidikan fleksibel serta pembelajaran sepanjang hayat.
Selain itu, MSU memainkan peranan penting ke arah memperkasa masa hadapan serta menyediakan akses pendidikan kepada semua peringkat lapisan masyarakat sama ada di Malaysia serta global selaras dengan slogan universiti, Transforming Lives, Enriching Future.
Untuk rekod, Quacquarelli Symonds ialah agensi berpangkalan di United Kingdom yang membuat penarafan tahunan universiti yang mana bagi 2024, ia melibatkan 856 universiti utama daripada 25 negara Asia merangkumi rantau Asia Barat, Asia Timur, Asia Tenggara serta Asia Selatan iaitu peningkatan sebanyak 149 institusi dari tahun lalu.