Fokus diikuti disiplin tinggi dalam kalangan pemain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru merupakan dua faktor membolehkan pasukan dari Klang, Selangor itu merangkul kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18) 2023.
Malah pengendali SMK Meru, Muhammad Nazreen Na'im Mohd Zahari juga gembira apabila persediaan fizikal dan mental anak-anak buahnya dijelmakan dengan menewaskan pasukan pilihan kejohanan dari Tanjung Karang, Selangor itu.
"Secara mental dan fizikalnya, pasukan kami telah bersedia dengan sebaiknya walaupun pihak lawan telah tiga kali berada di pentas perlawanan akhir sebelum ini.
"Alhamdulillah, fokus dan disiplin tinggi yang diterapkan kepada pemain-pemain membuahkan hasil pada final kali ini. Selain itu, pengalaman menyertai kejohanan luar juga sedikit sebanyak mengurangkan gemuruh dan memberi ketenangan kepada pemain-pemain sepanjang perlawanan akhir,” katanya kepada Sukan Sinar.
Anak buah Muhammad Nazreen Na'im merangkul kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 selepas menewaskan SMK Dato' Harun, 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-duanya terikat 1-1 dalam perlawanan akhir di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 6 November lalu.
Mengulas lanjut persediaan mempertahankan kejuaraan edisi 2024, Muhammad Nazreen Na'im berkata, cabaran setiap pasukan bergelar juara semestinya untuk mempertahankan kejuaraan tahun ini.
"Jadi kami akan berusaha membentuk pasukan dari pelbagai aspek bermula pada awal tahun 2024. Gabungan para pemain lama dan baharu akan memperkuatkan lagi cabaran pasukan SMK Meru pada 2024,” katanya.
Pada masa sama, Muhammad Nazreen Na'im dan barisan pemain berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan hingga membolehkan pasukan mencipta sejarah menjulang kejuaraan trofi B-18 tahun buat kali pertama.
"Terima kasih juga kepada Pengetua Cemerlang SMK Meru, Siti Dinar Hamid dan barisan pentadbiran sekolah serta barisan jurulatih Mat Hassan Mat Rofi, Sabri Jaafar, Mohamed Faniezat Mat Rani, Azhar Nordin dan Sukri Ibrahim selaku pengurus pasukan.
"Kejuaraan diraih SMK Meru ini kejayaan bersama para guru, ibu bapa pelajar, penaja dan warga Klang yang sentiasa di belakang para pemain selama ini. Ini merupakan kejuaraan kali pertama SMK Meru bagi kategori B-18 tahun sejak menyertai pada 2015 dan tahun ini merupakan tahun ketujuh kejohanan.
"Sebelum ini skuad B-15 merangkul kejuaraan pada edisi pertama pada 2018, diikuti trofi Sumbangsih pada 2020,” katanya.
Tabik karakter melawan SMK Dato' Harun
SMK Dato' Harun, disifatkan mempamerkan prestasi membanggakan dalam saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 2023, apabila pasukan dari Tanjung Karang itu bermula langkah kanan dengan merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih dalam aksi pembuka tirai kejohanan.
Namun hasrat anak buah Mohd Zulfadli Mohamad Ali, untuk merangkul kejuaraan berganda kejohanan yang mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad tidak kesampaian apabila dijinakkan SMK Meru dalam perlawanan akhir.
"Kami bermain lebih baik, malah lebih banyak melakukan percubaan tepat berbanding pasukan lawan. Namun faktor hujan selain permukaan padang kurang baik ternyata menjejaskan rentak permainan pasukan SMK Dato' Harun.
"Separuh masa kedua kami melakukan taktikal twist akhirnya berjaya bangkit, tapi masih belum cukup. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan komitmen dan disiplin pemain-pemain.
"Malah banyak peningkatan dipamerkan pemain-pemain sepanjang kejohanan kali ini, saya doakan pemain-pemain berjaya pada masa depan,” kata Mohd Zulfadli.
Kredit foto: Sinar Harian/Mohd Rafiq Redzuan Hamzah