Pusat Wakaf dan Zakat USIM agih makanan kering untuk bantu mahasiswa

Iklan
Wajah-wajah gembira mahasiswa USIM setelah mendapat bantuan makanan kering di hadapan pejabat PWZ.

Memandangkan kos sara hidup yang makin meningkat saban hari, Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengambil inisiatif dengan mengagihkan makanan kering kepada golongan mahasiswanya.

Kaedah agihan makanan kering tersebut diedarkan secara percuma kepada para penuntut pada setiap hari Isnin hingga Jumaat di hadapan pejabat PWZ.

Iklan
Iklan

Menurut Pengarah PWZ USIM, Profesor Madya Dr Mushaddad Hasbullah, inisiatif program itu bertujuan membantu kos sara hidup mahasiswa yang semakin tinggi pada masa kini.

"Mereka boleh mengambil bantuan makanan kering pada masa yang ditetapkan.

Iklan

"Sekurang-kurangnya, bantuan ini dapat membantu meringankan beban kewangan para penuntut,” katanya dengan menambah dana agihan makanan PWZ adalah hasil daripada Tabung It’am Muhtajin (makanan untuk yang memerlukan) yang diperoleh daripada potongan gaji bulanan staf USIM dan sumbangan orang ramai serta dari institusi atau badan korporat.

Sementara itu, mahasiswa Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM, Nur Alyaa Abdul Malik merakamkan ucapan terima kasih kepada PWZ kerana membantu para penuntut menjimatkan perbelanjaan dari segi makanan kering.

Iklan

"Saya dan rakan-rakan agak terkesan dengan keadaan ekonomi ketika ini, jadi dengan wujudnya inisiatif yang disediakan maka saya dapat menarik nafas lega dengan pemberian makanan dan barangan asas,” tutur Nur Alyaa.

Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM, Ahmad Iqbal Hadi Mohd Zamani pula berkata, peningkatan harga barang yang menyebabkan kos sara hidup meningkat secara tidak langsung telah memberi kesan terhadap mahasiswa.

"Inisiatif agihan makanan yang dijalankan oleh PWZ sebenarnya sangat membantu penuntut USIM khususnya golongan B40.

"Terima kasih banyak kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan,” ujarnya yang berharap program sebegini dapat diteruskan bahkan perlu mendapat perhatian lebih mendalam demi menjaga kebajikan dan kemaslahatan setiap mahasiswa.

Maklumat Penulis

Mahasiswa USIM, Muhammad Uzair Zuhaidy dari kelas ACJ 3083

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my