Kerana kemalangan, kehidupan pelajar Perakaunan UUM berubah sekelip mata! 'Saraf tunjang cedera parah, jalani tebuk trakea...besarnya ujian awak, dik'

Iklan
Suara Aleeya masih kabur. Tangannya hanya mampu bergerak sedikit. Lebih menyayat hati, doktor memaklumkan berlaku jangkitan kuman pada saluran pernafasan yang menyebabkan Aleeya kembali sukar bernafas. Bantuan mesin pernafasan terpaksa disambung semula. Foto: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

Tiada siapa pernah meminta untuk diuji dengan kemalangan, apatah lagi pada usia semuda 21 tahun ketika masa depan sedang mekar di hadapan mata.

Namun, ALLAH Maha Mengetahui segala-galanya. Setiap ujian yang hadir, pasti dalam lingkungan kemampuan hambaNya. Hanya doa menjadi senjata, hanya sabar menjadi perisai.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini, pelajar Semester Lima Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Aleeya Khairani Ahmad Shukri, diuji dengan dugaan yang begitu hebat apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 31 Januari lalu.

Ketika itu, Aleeya dalam perjalanan pulang ke kampus dengan menaiki motosikal bersama rakannya di kawasan Changlun, sekitar jam 9 malam.

Iklan

Perjalanan yang sepatutnya biasa, bertukar menjadi detik hitam yang merubah seluruh kehidupannya.

"Aleeya segera dikejarkan ke Hospital Jitra sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut. Di situlah khabar memilukan diterima keluarga, saraf tunjangnya cedera parah dan dia memerlukan rawatan rapi serta pemantauan intensif.

Iklan

Foto: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

"Bayangkan hati seorang ibu, Rozita Samingon dan ayahnya, Ahmad Shukri Hamid. Anak yang selama ini berdikari, ceria dan penuh impian, kini terlantar di katil hospital. Satu ujian berat buat mereka," kongsi UUM di platform Facebook.

Universiti itu turut memaklumkan bahawa pada 8 Februari lalu, Aleeya dibawa ke bilik pembedahan untuk menjalani prosedur menebuk trakea (trakeostomi) bagi membolehkannya bernafas dengan lebih stabil.

Pembedahan itu berjaya dilaksanakan. Namun ujian belum berakhir.

Suara Aleeya masih kabur. Tangannya hanya mampu bergerak sedikit. Lebih menyayat hati, doktor memaklumkan berlaku jangkitan kuman pada saluran pernafasan yang menyebabkan Aleeya kembali sukar bernafas. Bantuan mesin pernafasan terpaksa disambung semula. Allahuakbar...beratnya ujian ini.

Buat masa ini, Aleeya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga keadaannya benar-benar stabil sebelum dipindahkan ke wad biasa.

Keperluan untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu menuntut pelbagai peralatan khas, kerusi roda yang menyokong leher, katil perubatan khas, mesin bantuan pernafasan, susu khas serta keperluan penjagaan harian.

Kos rawatan yang mencecah hampir RM20,000 tentunya satu jumlah besar buat keluarganya. Bapanya bekerja sendiri dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan. Dalam sekelip mata, keluarga ini diuji bukan sahaja dengan kesedihan, tetapi juga beban kewangan.

Foto: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed turun menziarahi Aleeya di HSB bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang keadaannya.

Beliau memberi jaminan untuk membantu menyelesaikan kos rawatan tersebut.

"Sebanyak RM10,000 daripada Tabung Bantuan Kebajikan Pelajar diperuntukkan untuk Aleeya. Dalam masa sama, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut digerakkan untuk membuat kutipan derma dalam kalangan staf, pelajar dan orang ramai," kongsi hantaran itu lagi.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut hadir melawat Aleeya dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi membantu meringankan beban keluarga.

Untuk Aleeya, mungkin berat mata kita memandang, tetapi jauh lebih berat bahu yang memikul. Namun selagi ada nafas, selagi itu ada harapan.

Moga ALLAH perkenankan setiap doa yang diangkat, memakbulkan harapan seorang ibu dan mengembalikan senyuman Aleeya suatu hari nanti, insya-ALLAH.