Halaqah Murabbi@Tutelage Program berjaya dilaksanakan dengan begitu cemerlang di Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) biarpun ia mengambil masa selama empat minggu iaitu bermula 6 November hingga 30 November 2023.
Menurut Penyelaras Program, Dr Nur Atiqah Abdul Aziz, program tersebut bertujuan memastikan setiap mahasiswa mempunyai mentor untuk berkongsi sebarang permasalahan atau pendapat berkaitan akademik dan ko-kurikulum.
"Halaqah Murabbi adalah platform penuntut USIM mendapatkan maklumat berkaitan isu-isu yang melibatkan mereka.
"Faedah yang mahasiswa perolehi daripada program ini adalah mendapat bimbingan dan nasihat bersesuaian dalam masalah dihadapi.
"Selain itu, Halaqah Murabbi ini juga berpotensi memberi impak yang sangat positif kepada keseimbangan pembangunan sahsiah penuntut USIM dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek,” ujarnya.
Sambung beliau, program juga memberi bantuan kepada mahasiswa yang mempunyai masalah berkaitan akademik seperti pemilihan kursus, pertukaran program, penangguhan semester dan sebagainya akan dibantu bagi meringankan beban mahasiswa.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Program, Imran Husni Rahim menitipkan pesanan agar semua peserta dapat memberikan komitmen yang baik sepanjang program yang masih lagi berlangsung.
"Harapan saya agar mahasiswa komited dengan segala program yang dianjurkan agar hubungan antara pensyarah dan penuntut lebih erat sekali gus memudahkan sesi perkongsian masalah dijalankan,” ujarnya.
Maklumat Penulis
Mahasiswa USIM, Syahrul Aizam Shaharudin dari kelas ACJ 3083
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my