Andy Razeydan luah rasa syukur diumum penerima Anugerah Khas Kepimpinan (Dr) Sani Araby

Iklan
Ahmad Sani (kiri) bersama Andy Razeydan (kanan) pada Majlis Istiadat Konvokesyen kali ke-25 UPSI pada Rabu.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kejurulatihan), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Andy Razeydan Sahibu, 24, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Kepimpinan (Dr) Sani Araby sempena Majlis Istiadat Konvokesyen kali ke-25 yang kini berlangsung hingga 29 November 2023 di Dewan Tuanku Canselor, UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjung Malim, Perak.

Menerusi penganugerahan itu, Andy Razeydan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, sijil, selendang dan trofi.

Iklan
Iklan

Beliau yang merupakan anak kelima daripada enam beradik meluahkan rasa gembira dengan kejayaan tersebut dan merakamkan ucapan terima kasih tulus ikhlas kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan kecemerlangannya.

"Terima kasih kepada ayah, ibu, ahli keluarga dan para pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) yang memberi peluang dan ruang serta tunjuk ajar sepanjang pengajian.

Iklan

"Tidak lupa juga kepada sahabat seperjuangan dalam Team FSSK Responsive dan ResQ Team UPSI yang sentiasa bersama-sama dalam melaksanakan pelbagai program, terima kasih sekali lagi,” ungkapnya.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Sabah ini berkata, dirinya terkejut dan tidak menyangka akan terpilih menerima Anugerah Khas Kepimpinan (Dr) Sani Araby berkenaan.

Iklan

"Calon perlu melalui proses tapisan dan temu duga oleh mereka yang pakar dalam bidang berkaitan.

"Memang gementar dan rasa takut namun saya yakin, semua ini adalah rezeki dari ALLAH,” ujarnya yang akan tetap bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan selepas ini.

Anugerah Khas Kepimpinan (Dr) Sani Araby yang diwujudkan pada tahun 2018 merupakan antara anugerah tertinggi UPSI yang memfokuskan kepada kepimpinan dan ketokohan mahasiswa serta elemen kemasyarakatan yang ada dalam diri penuntut tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery diberi penghargaan menyempurnakan penyampaian anugerah itu kepada Andy Razeydan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada graduan berkenaan yang telah dipilih melalui penilaian fakulti, temu duga dan mendapat perkenan senat.

"Tahniah dan semoga terus berjaya serta mencapai segala impian,” ujarnya.