Global Volunteer Mission to Sumatra, UiTM bantu capai matlamat SDGs

Iklan
Sebahagian mahasiswa UiTM yang mengikuti Global Volunteer Mission to Sumatra di Indonesia baru-baru ini.

Matlamat Pembangunan Mampan atau lebih popular disebut Sustainable Development Goals (SDGs) adalah teras Agenda 2030 yang dipersetujui Ketua-ketua Negara dan masyarakat antarabangsa pada 25 September 2015 di Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Teras itu bertujuan mencapai keseimbangan dalam tiga dimensi pembangunan mapan merangkumi sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Iklan
Iklan

SDGs mempunyai 17 matlamat dan 169 sasaran yang digariskan badan dunia, sekali gus menandakan komitmen besar masyarakat antarabangsa menangani kebimbangan global kritikal dan memupuk masa depan lebih mampan serta saksama untuk manusia sejagat.

Atas dasar prihatin dengan isu semasa dan membantu mencapai matlamat SDGs, sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban mengambil inisiatif melaksanakan misi kesukarelawan yang menerapkan matlamat SDGs iaitu Global Volunteer Mission to Sumatra, Indonesia pada 12 hingga 18 November 2023.

Iklan

Misi kesukarelawan yang berlangsung di Kepulauan Sumatera iaitu Bukittinggi, Wilayah Sumatera Barat dan Pekanbaru, Wilayah Riau dilaksanakan selama tujuh hari di bawah kelolaan Kelab Prime Mover UiTM, Kursus Kokurikulum Khidmat Masyarakat (HPD233), UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban dengan kerjasama dua pertubuhan sukarela di Indonesia iaitu Sakola Alam dan Indonesia Youth Education & Social (IYES).

Sepanjang Global Volunteer Mission to Sumatra, Indonesia berlangsung, pelbagai aktiviti disediakan dalam memenuhi matlamat SDGs seperti Kesihatan dan Kesejahteraan (SDG 3), Kesaksamaan Gender (SDG 5), Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6), Tindakan Iklim (SDG 13) dan Perkongsian Untuk Matlamat (SDG 17).

Iklan

Antaranya Kempen Penjagaan dan Kebersihan Diri Kanak-kanak iaitu mengajar kanak-kanak membasuh tangan dan menggosok gigi dengan cara yang betul, Kempen Start Awareness From Early (SAFE) for Children iaitu mengajar kanak-kanak melindungi diri daripada menjadi mangsa dera, Program Remaja Holistik meningkatkan kesedaran remaja agar tidak terlibat dalam gejala sosial yang semakin berleluasa serta program Recycle Art bagi menggalakkan penggunaan barangan terpakai menjadi kegunaan baharu.

Selain itu, aktiviti mengecat dan melukis mural juga diadakan bagi mengindahkan lagi keadaan rumah anak-anak yatim di Panti Asuhan Ar-Rahim, Pekanbaru, Wilayah Riau.

Tidak ketinggalan, sukarelawan UiTM menjalankan kutipan sumbangan dan hasil dana yang diperoleh digunakan dengan membeli 50 beg sekolah dan alat tulis serta diagihkan kepada kanak-kanak di dua buah institusi iaitu Sakola Alam dan Panti Asuhan Ar- Rahim.

Sementara itu, Pengasas Sakola Alam, Haekal Hamdany berkata, ini merupakan kali pertama pihaknya berkolaborasi dengan institusi luar negara dan terbukti kanak-kanak teruja menerima kehadiran mahasiswa dari Malaysia.

Presiden Kelab Prime Mover UiTM, Mohamad Noor Izzuddin pula berkata, projek ini mampu membentuk mahasiswa agar menjadi pemimpin yang sentiasa cakna tentang isu-isu semasa yang membelenggu masyarakat samada di dalam mahupun di luar negara.

Akhir kata, pencapaian Pelan Pembangunan Mampan amat bergantung kepada tindakan menyeluruh dan holistik daripada semua pihak seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat antarabangsa bagi mempercepatkan proses pembangunan dunia secara mampan pada masa hadapan.

Menerusi pekara ini juga, golongan mahasiswa hendaklah memainkan peranan mereka dalam membantu merealisasikan matlamat Pelan Pembangunan Mampan menjelang tahun 2030.

Maklumat Penulis

Mahasiswa UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban selaku Timbalan Pengarah Projek Global Volunteer Misson to Sumatra, Nur Adilah Muhammad