Sebuah pementasan teater yang memperihalkan isu kesihatan mental dalam kalangan pelbagai segmen masyarakat, dipentaskan di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Pementasan Kenapa Kau Bayang Waktu merupakan kerjasama sulung antara Festival ArtXpression dan Bahagian Kaunseling dan Pemerkasaan OKU UM, dalam menjayakan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Bulan Kaunseling Kebangsaan peringkat UM.
Teater arahan Harith Amirrul, menampilkan tiga pelakon muda iaitu Megat Adli, Hana Nadira dan Khairunazwan Rodzy.
Menurut Harith, naskhah asli karyanya itu cuba menyorot kisah-kisah masyarakat sebelum, semasa dan selepas pandemik Covid-19 yang melanda dunia melalui tiga watak utamanya.
"Pementasan minimalis ini merungkai kehidupan Ali dibawa oleh Megat Adli, Mardiah (Hana Nadira) dan Nasir (Khairunazwan Rodzy) yang bergelut dengan cabaran dan rintangan hidup semasa pandemik serta memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental masing-masing.
"Ali ialah seorang pelajar universiti yang cemerlang sebelum pandemik, dilihat tidak mampu menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran di atas talian.
"Mardiah pula merupakan isteri dan wanita berkerjaya yang dibuang kerja semasa pandemik kerana ketidakmampuan syarikat. Tekanan ke atas dirinya diperburukkan lagi dengan masalah rumah tangga diambang kehancuran.
"Nasir pula ialah pengusaha gerai makan separuh usia yang baharu sahaja kehilangan isteri tercinta. Perniagaannya yang merosot semasa pandemik menambahkan lagi tekanan kepadanya yang masih belum mampu menerima realiti hidup tanpa isterinya di sisi," jelas Harith di sini, baru-baru ini.
Harith berkata lagi, teater itu merupakan pementasan paling mencabar dalam kerjayanya sebagai penulis dan pengarah teater.
"Saya telah menulis dan mengarah beberapa karya teater tetapi karya ini paling mencabar untuk dihasilkan. Ia sangat dekat di hati saya dan berusaha sedaya mungkin bagi mencerminkan perjuangan dihadapi ramai orang semasa pandemik Covid-19.
Ada di antara baris skrip yang digunakan diolah berkali-kali demi menggambarkan perasaan mereka yang benar-benar terkesan dengan wabak itu sehingga ke kini,” katanya.
Kita jaga kita
Ketua Bahagian Kaunseling dan Pemerkasaan OKU UM, Lizawati Abd Sane yang turut menghadiri pementasan teater itu berkata, salah satu momen cukup bermakna dalam persembahan itu apabila penonton dijemput untuk sama-sama mengangkat bendera putih yang disediakan di kerusi masing-masing sambil menyeru 'Kita Jaga Kita'.
Ia adalah simbolik kepada gerakan itu yang dimulakan bagi membantu mereka yang terkesan, sama ada secara fizikal atau mental, semasa pandemik tempoh hari.
"Saya tertarik dengan adegan di mana ketiga-tiga watak utama yang dilihat menghubungi Talian Kasih bagi mendapatkan bantuan setelah menyedari diri mereka menghampiri ‘bayang gelap’ dalam kehidupan masing-masing.
"Ini kaedah secara langsung yang amat jelas dalam mendidik masyarakat untuk mendapatkan bantuan kaunseling, apabila menyedari tanda-tanda tekanan yang dihadapi. Ini sangat membantu dalam usaha kami menghentikan stigma terhadap kesihatan mental,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Festival ArtXpression, Atiqah Jani berkata, sebagai alumni UM, mereka komited menyumbang kepada masyarakat dalam mendukung kesihatan mental.
"Sebagai pengamal seni, kami juga bertanggungjawab membantu kesihatan mental masyarakat. Kami pilih mendidik komuniti kampus dan orang awam tentang kepentingan kesihatan mental itu melalui pendekatan kreatif kerana ingin mendekati hari dan perasaan individu.
"Hampir 200 penonton yang hadir di pementasan teater Kenapa Kau Bayang Waktu yang rata-rata menunjukkan reaksi positif dan memahami mesej yang ingin disampaikan.
"Saya gembira dengan pementasan ini dan mengharapkan kerjasama strategik sebegini diteruskan kelak, demi memberi kesedaran dan menghentikan stigma masyarakat terhadap kesihatan mental,” kata Lizawati mengakhiri temu bual.
Untuk rekod, pementasan teater itu turut dijayakan Fakulti Seni Kreatif dan Pusat Komunikasi Korporat, UM.