Pendidikan tidak formal jana fleksibiliti kurikulum sekolah

Iklan
Masa depan pendidikan terletak pada fleksibiliti dan adaptabilitinya pada perubahan. Kredit foto: Facebook Sekolah Menengah Sains Selangor

Sistem pendidikan konvensional sering disandarkan dengan kurikulum standard yang kurang fleksibel dan dilaksanakan melalui pengajaran terancang, buku teks serta jadual yang padat.

Ia berikutan amalan sistem peperiksaan piawai yang digunakan bagi menilai pencapaian objektif pembelajaran, di mana menghabiskan silibus menjadi tanggungjawab utama setiap guru, khususnya bagi menyediakan murid menghadapi peperiksaan piawai tersebut.

Iklan
Iklan

Walaupun sistem ini mempunyai merit dan kelebihan tersendiri, namun ia sering dilihat gagal dalam memenuhi kepelbagaian keperluan pembelajaran murid masa kini.

Dalam dunia yang diwarnai kemajuan teknologi pesat dan dinamik masyarakat yang berubah-ubah, kekurangan sistem pendidikan konvensional sering menjadi fokus perbincangan.

Iklan

Perkembangan itu hakikatnya mendesak kepada keperluan pendekatan pembelajaran yang fleksibel dan inklusif, di mana salah satu pendekatan penyelesaian yang praktikal adalah pemerkasaan pendidikan tidak formal dalam kerangka persekolahan formal.

Secara khusus, pendidikan tidak formal dalam situasi sekolah merujuk kepada pembelajaran yang berlaku di luar konteks kurikulum berstruktur yang standard.

Iklan

Ia selalunya berdasar keperluan, tidak berstruktur dan mungkin tidak melibatkan penggredan atau penilaian tradisional.

Dengan memperkasakan pendidikan tidak formal dalam kerangka persekolahan formal, keperluan mengubah suai kurikulum setiap kali ada permintaan atau desakan adalah tidak perlu.

Ini kerana, kandungan pembelajaran baharu berkenaan boleh diserap dengan pendekatan pendidikan tidak formal bersifat fleksibel dan tidak terlibat dalam peperiksaan piawai.

Misalnya, kita sering mendengar desakan agar diperkenalkan subjek khusus untuk etika dan nilai, integriti, keusahawanan, literasi kewangan, penghayatan seni dan budaya, kesedaran alam sekitar, teknologi terkini, kesedaran politik dan sebagainya di sekolah.

Namun, kandungan pembelajaran ini sebenarnya boleh disampaikan dengan pendekatan yang menarik dan inovatif dalam kerangka pendidikan tidak formal.

Secara keseluruhan, pendidikan tidak fomal di sekolah adalah penting kerana pendekatan ini membolehkan murid menerokai dan mendalami kemahiran semasa yang tidak terkandung dalam kurikulum formal.

Ia melengkapkan pendidikan formal dan membantu menyediakan murid untuk pembelajaran sepanjang hayat.

Pendidikan formal penting bagi menyediakan asas berstruktur akan pengetahuan dan kemahiran, manakala, pendidikan tidak formal membantu murid membina pemahaman yang lebih mendalam tentang dunia di sekeliling mereka.

Untuk melaksanakan perubahan ini dengan jayanya, sekolah dan sistem pendidikan perlu melabur dalam latihan dan sumber yang menyokong amalan pendidikan tidak formal bagi menyediakan guru dengan kemahiran yang mereka perlukan untuk melaksanakannya secara berkesan.

Dari pihak guru pula, melaksanakan pendidikan tidak formal yang berkesan memerlukan mereka menguasai set kemahiran dan kualiti yang pelbagai.

Antaranya yang paling penting ialah pengetahuan kandungan yang terkini dan semasa, kerana guru memerlukan pemahaman yang kukuh tentang perkara yang mereka ajar.

Pengetahuan kandungan ini berfungsi sebagai asas di mana guru boleh membimbing penerokaan murid dan memupuk rasa ingin tahu dan pemikiran kritis murid.

Di samping itu, guru mestilah fleksibel, kreatif, empati untuk melayan dan menangani sebarang pertanyaan serta soalan murid secara bermakna.

Walaupun faedah memperkasakan pendidikan tidak formal adalah jelas, cabaran tetap ada.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memperuntukkan sumber, melatih guru dan mereka bentuk kurikulum yang mengintegrasikan pendidikan formal dan tidak formal dengan berkesan bagi menjayakannya.

Secara kesimpulannya, masa depan pendidikan terletak pada fleksibiliti dan adaptabilitinya pada perubahan.

Memperkasa pendidikan tidak formal dalam sistem persekolahan formal adalah suatu langkah yang betul arah tujunya.

Ia menawarkan penyelesaian untuk menyediakan pendidikan berkualiti yang memenuhi keperluan unik setiap pelajar berdasarkan keperluan semasa.

Maklumat Penulis

Profesor di Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Ahmad Zamzuri Mohamad Ali

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my