Kurator muzium: Bukan sekadar penterjemah artifak lama

Iklan
Mohd Nasrulamiazam (kiri) sewaktu merungkai artifak di salah sebuah muzium di luar negara.

Pikul tanggungjawab perkongsian ilmu sejarah kepada masyarakat

Tanggungjawab kurator muzium bukan sekadar bercerita atau menterjemah artifak lama sebaliknya, perlu memikul satu tanggungjawab menghubungkan pengetahuan berkaitan barang bersejarah kepada setiap lapisan masyarakat.

Pernah atau tidak anda terfikir bagaimana sesebuah muzium seperti Muzium Negara mempunyai pelbagai maklumat, selain turut mempamerkan barangan antik, fosil dan artifak bersejarah?

Iklan
Iklan

Ini kerana adanya sekumpulan kurator muzium yang bekerja keras di belakang tabir demi memastikan setiap pameran artifak dipersembah secara berkesan, menarik dan memberi pengetahuan kepada mesyarakat yang datang untuk menimba ilmu.

Bagi Timbalan Pengarah Muzium Negara, Kuala Lumpur, Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir, skop kerja melibatkan kerjaya kurator muzium melibatkan segala aspek bermula dari peringkat awal iaitu penyelidikan, pameran dan konservasi.

Iklan

Untuk itu, mereka yang menggalas tugas tersebut perlu mendalami terlebih dahulu setiap kajian agar ia dapat dipersembahkan kepada masyarakat dengan teliti dan berinformasi.

"Mereka yang bekerja sebagai kurator muzium ini tidak hanya duduk di muzium sahaja setiap hari.

Muzium Negara adalah salah sebuah tempat utama himpunan artifak, fosil dan barang bersejarah.

Iklan

"Mereka juga perlu keluar ke lapangan untuk mengkaji dan menyelidik perkara-perkara yang menarik perhatian serta unik antaranya budaya masyarakat Orang Asli atau tingkah lalu penduduk di kawasan pedalaman.

"Saya sendiri pernah turun padang iaitu ke Sabah dan Sarawak, meneroka bagaimana kebudayaan masyarakat di pedalaman serta sistem kehidupan mereka yang lain berbanding komuniti lain,” ujarnya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Mohd Nasrulamiazam juga memberitahu, di kawasan Semenanjung ada tarikan kebudayaan yang boleh dijadikan kajian buat mereka yang berminat mendalami lagi ilmu berkaitan sejarah ini.

Sebagai contoh katanya, Adat Perpatih yang menjadi pegangan masyarakat Negeri Sembilan dan masih kekal hingga hari ini.

Beliau yang juga graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) bidang Antropologi dan Sosiologi menegaskan, mereka yang berminat untuk bekerja di muzium hendaklah mengetahui sedikit sebanyak tentang sejarah sesuatu perkara.

"Secara dasarnya pekerjaan di muzium ini memerlukan mereka yang mempunyai rasa ingin tahu mendalam selain turut mengetahui setiap perkara melibatkan sejarah.

"Sekurang-kurangnya, memahami dahulu latar belakang setiap barang yang dijumpai contohnya bagaimana ia dihasilkan agar setiap persoalan dapat dijawab dengan fakta,” katanya.

Bercerita lanjut tentang pengalamannya sepanjang 19 tahun berkhidmat sebagai kurator muzium, Mohd Nasrulamiazam berkata, terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditempuh demi memastikan setiap kajian yang dilakukan akhirnya diguna pakai di muzium.

Tidak hanya itu, cabaran-cabaran lain seperti terpaksa berdepan dengan unsur mistik dan misteri juga antaranya sebahagian dugaan yang sering dirasai oleh mereka yang terlibat dengan kerja di muzium.

"Unsur-unsur mistik dan misteri ini secara dasarnya adalah perkara biasa yang terjadi di muzium memandangkan tempat ini menyimpan seribu satu artifak lama.

"Bagi saya sendiri, ia pernah berlaku tetapi tidaklah secara serius dan misteri itu tetap akan berlaku di mana-mana,” jelasnya.

INFO

Antara kursus boleh diambil untuk menjadi kurator muzium

1) Arkeologi

2) Antropologi dan Sosiologi

3) Seni Halus

4) Botani

5) Zoologi

6) Sejarah

7) Sains dan Konservasi