SK Dato' Wan Kemara sekali lagi anjur program antarabangsa

Iklan
Peserta dari Indonesia turut melakukan persembahan kebudayaan.

Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara mencipta sejarah tersendiri apabila sekali lagi berjaya menganjurkan 3rd International Asean In Community Programme 2024 (3rd IAICP 2024).

Guru Besar SK Dato' Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin berkata, 3rd IAICP 2024 merupakan satu-satunya program silang budaya peringkat antarabangsa dianjurkan sekolah rendah itu sebanyak tiga kali sejak 2018.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, program berlangsung selama dua hari dari 9 hingga 10 Januari, melibatkan sekolah-sekolah Thailand, Indonesia dan Malaysia berkaitan pertukaran budaya, kesenian dan keunikan etnik.

"Alhamdulillah, sangat mengujakan murid dan guru kerana dapat menjalinkan himpunan bangsa, budaya, kesenian serta kolaborasi antara murid-murid.

Iklan

"Program ini peringkat antarabangsa kerana murid dari tiga negara dapat menjalinkan kerjasama rumpun di bawah satu negara ASEAN," katanya selepas Majlis Penutup 3rd IAICP 2024 di SK Dato' Wan Kemara di sini, pada Rabu.

Sebelum itu, 3rd IAICP 2024 diadakan dengan kerjasama beberapa rakan strategik termasuk Sinar Bestari, Universiti Utara Malaysia (UUM), Kraftangan Malaysia dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.

Iklan

Beliau turut melahirkan rasa syukur program disertai seramai 118 murid dari Malaysia, Indonesia dan Thailand berjalan dengan lancar dan baik dengan kerjasama pelbagai pihak.

Penyelaras 3rd IAICP 2024, Saflina Sepian berkata, sebanyak 17 sekolah di Malaysia, Indonesia dan Thailand mengambil bahagian dalam program silang budaya itu.

Kata Saflina, selain SK Dato' Wan Kemara, antara sekolah lain termasuklah SK Bandar Darulaman, SK Hosba, SK Seri Perlis, SK Pauh,SK Titi Tinggi, SK Oran, SK Bertam Indah, SK Permatang To' Bedor, SK Mohd Shah, SK Seri Samudera dan SK Gunung Semanggol.

Menurut beliau, empat sekolah lagi dari Indonesia iaitu Sekolah Dasar Muhammadiyah Al Mujahidin Wonosari, Sekolah Dasar Muhammadiyah Sudagaran Wonosobo, Sekolah Dasar Aisyiyah Unggulan Gemolong dan Sekolah Dasar Negeri VI Wonosari, manakala Chumcon Banpadang School dari Thailand.

"Tujuan kami menganjurkan program adalah untuk memperkenalkan budaya-budaya negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Malaysia.

"Selain itu, murid dapat mempelajari kebudayaan negara masing-masing terutamanya permainan, kebudayaan dan tarian," katanya.

Beliau berkata, program itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti kraftangan dan persembahan.

Peserta dari tiga negara bergambar kenangan beramai-ramai selepas Majlis Penutup 3rd IAICP 2024 di SK Dato' Wan Kemara, Kedah pada Rabu.

Manfaat bersama

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Mahadhir Ismail berkata, pihaknya menyokong usaha penganjuran program silang budaya melibatkan tiga negara ASEAN itu.

Beliau menyifatkan, program silang budaya itu sememangnya amat baik kepada murid, guru dan warga sekolah terlibat.

"Kita dapat melakukan perkongsian maklumat dan pembangunan, selain dapat menjalin hubungan dan berkongsi pengalaman antara peserta," katanya.

Ujar Mahadhir, pihaknya berharap program terbabit dapat diteruskan dan dikembangkan lagi selepas ini untuk manfaat bersama.

Sementara itu, President of Volunteers for ICTMSN APEC in Indonesia, Nurdin Somantri Wahyudin berkata, pihaknya menyambut baik program silang budaya melibatkan penyertaan pelajar Malaysia, Indonesia dan Thailand tersebut.

Nurdin berpandangan, 3rd IAICP bukan setakat program silang budaya semata-mata, malah ia mempunyai pelbagai faedah lain terutamanya dapat membantu pelajar terlibat untuk permohonan kemasukan universiti dan biasiswa nanti.

Kongsinya, peserta dari Indonesia yang menyertai program berkenaan akan dipilih dari kalangan pelajar mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan berketerampilan.

Bagi pelajar Sekolah Dasar Muhammadiyah Al Mujahidin Wonosari, Arya Andri,11, dia teruja kerana dapat berkenalan dengan ramai rakan baharu di Malaysia.

Arya juga mengakui dapat belajar tentang budaya dan kesenian lain yang ada dalam komuniti ASEAN itu

Pandangan sama turut disuarakan pelajar SK Dato' Wan Kemara, Manisha Sunan, 11, yang seronok dengan program pertukaran budaya, kesenian dan keunikan etnik bertaraf antarabangsa itu.

Manisha berkata, dia berpeluang menimba pengalaman dan pengetahuan baharu, selain dapat mengenali pelbagai permainan tradisional.

Katanya, program terbabit amat bermanfaat, sekali gus diharap lebih banyak penganjuran program seumpama itu kelak.