Menu Siswa Rahmah UniMAP meriah

Iklan
Wakil KPT, Muhammad Danial Khaleq Mohd Ali (kiri) bersama pengurusan UniMAP melihat perlaksanaan Menu Siswa Rahmah di kafeteria UniMAP baru-baru ini.

Menu Siswa Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, Muhammad Alif Zuhaili Shafarin berkata, tinjauan yang dilakukan oleh pihaknya mendapati rata-rata penuntut berpuas hati dengan menu ditawarkan penggerai.

Iklan
Iklan

"Menu Siswa Rahmah sentiasa disediakan penggerai bagi memenuhi hasrat kerajaan agar kebajikan penuntut terjaga.

"Namun, ada juga kekurangan Menu Siswa Rahmah di kampus ini di sebabkan sedikitnya promosi daripada pihak penggerai dan kurang pengetahuan dalam kalangan mahasiswa berkaitan inisiatif ini," ungkap Muhammad Alif Zuhaili.

Iklan

Untuk rekod, Menu Siswa Rahmah kendalian KPT membantu meringankan beban kos sara hidup penuntut di institut pengajian tinggi (IPT).

Ia bertujuan memastikan kelangsungan kebajikan mahasiswa IPT golongan B40 terus dijaga serta proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) tidak terjejas.

Iklan

KPT dengan kerjasama pihak pengurusan universiti awam dan pengusaha kafeteria, kiosk, gerai, penyedia perkhidmatan makanan memperkenalkan hidangan makanan (minum pagi, makan tengahari dan makan malam) dengan harga berpatutan sekitar RM3.50 per hidangan.

Penyediaan Menu Siswa Rahmah ini turut mengambil kira keperluan nutrisi asas (karbohidrat, protein, serat) dan komposisi kepelbagaian kaum mahasiswa di universiti awam.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Profesor Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, lebih 60 peratus daripada keseluruhan 12,000 mahasiswa UniMAP merupakan golongan B40.

”Sebanyak 22 pengusaha kafeteria di kampus mengambil bahagian dalam penyediaan Menu Siswa Rahmah termasuk kolej kediaman dan fakulti.

”Pihak kafeteria menawarkan pilihan makanan seimbang dan berkualiti dengan harga berpatutan untuk memastikan penuntut memenuhi keperluan nutrisi dan meringankan kos kewangan,” tuturnya dengan menambah, pengenalan Menu Siswa Rahmah di lihat sebagai langkah tepat dan memberi banyak manfaat kepada komuniti universiti.