Seramai 22 mahasiswa Tahun Satu program Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menghasilkan reka bentuk prototaip alat bantuan khusus untuk warga emas.
Difahamkan, tujuan penghasilannya adalah untuk membantu warga tua memudahkan aktiviti harian mereka sekali gus menjalani kehidupan dengan berkualiti.
Penghasilan projek yang telah dipertontonkan dalam satu sesi demonstrasi di Pusat Jagaan Warga Tua Maimunah, Batu Pahat, Johor, baru-baru ini sebenarnya telah mendapat bimbingan tiga pensyarah berkaliber iaitu Nadiyah Noor Hisham, Dr Azmal Sabil dan Nasrul Arif Ahmad Mahmud.
Wakil pensyarah, Nadiyah berkata, projek tersebut mengambil masa selama empat minggu bermula daripada fasa reka bentuk sehinggalah penghasilan prototaip.
"Bahan digunakan pula adalah daripada bahan terbuang yang masih dalam berkeadaan baik,” katanya.
Memandangkan reka bentuk yang dihasilkan adalah dalam peringkat prototaip, Nadiyah menjelaskan, beberapa pembaikpulihan terutama bahan telah diperbaiki untuk penghasilan masa hadapan.
Antara aspek yang dikaji adalah pergerakan yang terbatas, sokongan bagi keseimbangan ketika pergerakan dan aktiviti harian seperti memakai kasut dan baju.
Sementara itu, wakil Pusat Jagaan Warga Tua Maimunah, Hasifah Misnon berkata, idea reka bentuk dan inisiatif yang dihasilkan penuntut UTHM sangat berpotensi dikomersialkan kerana mempunyai keunikan tersendiri dan bernilai tinggi.
Bagaimanapun, beliau telah mencadangkan beberapa penambahbaikan dan ubah suai perlu dilakukan pada sistem tersebut demi kebaikan bersama.