Pengangguran merupakan satu isu yang tidak asing dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Terdapat beberapa jenis pengangguran iaitu pengangguran kitaran, teknologi, struktur dan bermusim.
Masalah pengangguran berlaku disebabkan oleh ketidaksepadanan penawaran bekalan buruh dan permintaan terhadap tenaga kerja dalam pasaran.
Campur tangan kerajaan amat penting dalam memastikan kebolehpasaran tenaga kerja di Malaysia berkembang dengan baik.
Masalah yang dialami dalam kalangan tenaga buruh sendiri juga mendorong kepada peningkatan pengangguran.
Pada masa kini, pengangguran dikatogerikan sebagai perkara biasa ekoran lambakan buruh dan penawaran sektor pekerjaan yang terhad. Ia menyebabkan persaingan yang amat hebat berlaku dipasaran.
Pada penghujung tahun 2019, pandemik Covid-19 yang melanda dunia mengakibatkan perkembangan ekonomi negara terjejas kerana hampir keseluruhan sektor telah lumpuh dan terpaksa ditutup. Ia secara tidak langsung mengakibatkan ramai buruh diberhentikan kerja ekoran daripada syarikat perlu mengurangkan beban syarikat yang terpaksa menanggung pelbagai kos perbelanjaan termasuklah kos operasi dan gaji pekerja.
Pengangguran tidak hanya berlaku di Malaysia, malah membabitkan seluruh dunia. Kehilangan pekerjaan ketika krisis ekonomi pastinya memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan individu itu.
Golongan muda yang baru bekerja sukar untuk mempunyai simpanan yang boleh digunakan pada waktu kecemasan. Dalam jangka masa panjang, simpanan yang ada juga semakin berkurang untuk kelangsungan hidup.
Pada akhir tahun 2022, kadar pengangguran terus menurun kepada 3.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Berlaku penurunan sebanyak 0.6 peratus. Jumlah tersebut semakin berkurang pada suku pertama 2023 iaitu pada kadar 3.5 peratus. Nilai tersebut dijangka terus menurun ekoran struktur ekonomi yang semakin membaik.
Oleh itu, kerajaan juga telah mengambil peranan sebagai pihak yang bertanggungjawab memastikan kadar pengangguran tidak memberi kesan yang signifikan dalam jangka masa panjang sehingga memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara.
Inisiatif kerajaan
Pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh pihak kerajaan bagi membantu masyarakat mendapatkan pekerjaan. Antara inisiatif yang disediakan adalah portal pekerjaan untuk mendapatkan maklumat tawaran kerja.
Institusi kerajaan yang sangat penting dalam menangani isu pengangguran ini adalah Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang merupakan institusi yang berperanan dalam tadbir urus tertinggi penetapan dasar pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif kerajaan khususnya dalam sektor pekerjaan.
NEC ini juga menjadi institusi penting dalam menangani isu structural berkaitan pasaran buruh, pengangguran dan penyediaan tenaga kerja. Agensi ini berperanan menyediakan atau mencipta pekerjaan baharu.
Pada tahun 2023, sebanyak 144,376 peluang pekerjaan dicipta melalui pelaburan langsung asing dan domestik sehingga telah menyebabkan kadar pengangguran berjaya dikurangkan.
Selain itu, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga ditubuhkan bagi menyediakan pelbagai latihan kemahiran kepada pelajar. Terdapat pelbagai kebaikan TVET, antaranya mewujudkan daya saing mampan melalui pemupukan daya tahan dan kecemerlangan.
Selain itu, institusi TVET membantu individu dari segi penyediaan modal insan yang berkemahiran selari dengan keperluan industri bagi memenuhi permintaan industri dalam aspek buruh yang berpengetahuan dan berkemahiran.
Di peringkat negeri pula, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan membuka lebih 37,000 penempatan kerja bagi mengurangi masalah pengangguran di negeri tersebut.
Golongan lepasan sekolah dan golongan yang terkesan akibat daripada virus Covid-19 menjadi fokus utama dalam program ini.
Di Selangor pula, kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif untuk memberi 10,000 peluang pekerjaan bagi warga Selangor. Inisiatif itu diperkenalkan bagi tujuan memacu ekonomi negeri sesuai dengan kemahiran tenaga kerja dalam sektor ekonomi.
Tidak dinafikan kerajaan menyediakan pelbagai platform untuk memastikan isu pengangguran dapat dikurangkan di Malaysia. Namun, terdapat sikap segelintir pihak terutamanya golongan lepasan univertisi yang terlalu memilih pekerjaan.
Di fasa Malaysia yang semakin membangun, pelbagai sektor dalam industri diperkenalkan. Peluang pekerjaan pasti akan bertambah dari semasa ke semasa, akan tetapi kita perlu mengambil cakna bahawa graduan lepasan institusi pengajian tinggi juga akan bertambah.
Nilai tambah perlu ada dalam diri seseorang dalam apa-apa bidang bagi menarik minat majikan untuk dalam sektor pekerjaan. Langkah awal yang boleh diambil oleh siswazah dalam memupuk nilai tambah dalam diri adalah menyertai pelbagai program yang diadakan di universiti. Selain itu, siswazah juga dapat mempelajari ilmu kepimpinan sekiranya menyertai program yang dijalankan di universiti.
Dalam penyertaan program di universiti juga dapat melatih kemahiran komunikasi individu bagi memudahkan dan mampu menarik minat majikan dalam alam pekerjaan. Secara tidak langsung, ilmu tersebut dapat menjadi nilai tambah dan meningkatkan kebolehpasaran dalam diri dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Para graduan juga perlulah bijak mengambil ruang dan peluang dalam sektor pekerjaan. Meskipun sesuatu pekerjaan yang ditawarkan tidak menepati skop pelajaran ketika di universiti, namun graduan perlulah celik dengan isu pekerjaan dan pasaran kerja yang ditawarkan pada masa kini. Hal ini dapat mengurangkan isu pengangguran disamping graduan dapat menceburi bidang baharu di alam pekerjaan.
Secara tuntasnya, isu pengangguran di Malaysia ini perlu sentiasa diawasi dan diambil cakna oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan. Namun begitu, masyarakat juga perlulah mengambil maklum dan membuka minda dalam membantu usaha kerajaan dalam menjalankan pelbagai program dan inisiatif untuk mengurangkan isu pengangguran di Malaysia.
Dengan adanya kerjasama semua pihak dalam jangka masa panjang akan membantu mengurangkan pengangguran dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kestabilan ekonomi Malaysia.
Maklumat Penulis
Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Jaharuddin Padli dan mahasiswa UMT, Aina Batrisya Azaman
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my