Kuota pelajar: 60 peratus B40, selebihnya M40 dan T20 lulus UKKM

Iklan
Panelis yang diundang dalam Wacana Sinar Edisi 426, dari kiri, Ismail (moderator), Asyraf Wajdi, Nur Aziera dan Mohd Fadzli.

Baru-baru ini, timbul polemik dan perbahasan dalam kalangan masyarakat mengenai kuota kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Rata-ratanya melahirkan ketidakpuasan hati kerana sebilangan pelajar di MRSM datang dari kalangan berpendapatan sederhana (M40) dan tinggi (T20) sedangkan dakwa mereka, MRSM hanyalah untuk golongan berpendapatan rendah (B40) sahaja.

Iklan
Iklan

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini pernah berkata, Mara menetapkan kemasukan pelajar ke MRSM berdasarkan kuota ditetapkan.

Ujarnya, dasar Mara itu merangkumi 60 peratus pelajar MRSM adalah B40 manakala selebihnya mereka yang layak iaitu lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) daripada M40 dan T20.

Iklan

"Kerajaan masih mengekalkan dasar pengambilan pelajar iaitu perlu lulus UKKM sebelum dipertimbangkan belajar di MRSM.

"Kami tidak berkompromi dengan sebarang rayuan atau amalan kabel sekiranya pelajar gagal dalam ujian berkenaan. Ia dilakukan bagi menjamin kualiti produk MRSM,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Edisi 426 dengan tajuk MRSM Untuk B40 Sahaja? di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Selain Asyraf Wajdi, dua lagi individu iaitu Presiden Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara), Mohd Fadzli Yusof dan mantan guru MRSM, Nur Aziera Mohd Ramli telah diundang sebagai panelis bagi wacana berkenaan.

Manakala Ikon Siarawan, Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Menurut Asyraf Wajdi, pihaknya mempunyai menteri yang mengawal selia MRSM iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Beliau selalu berpesan kepada saya agar sentiasa berpegang kepada prinsip iaitu jangan menurunkan kualiti MRSM dan patuh kepada dasar asas iaitu mesti lulus UKKM.

"Kalau nak bantu sekali pun, bantulah mereka yang berpendapatan rendah (B40).

"Bagi mereka yang merayu, itu proses biasa kerana akan ada 10 hingga 15 peratus yang ditawarkan (kemasukan) akan menolak atas beberapa faktor,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd Fadzil melahirkan rasa terkejut apabila terdapat golongan T20 yang menghantar anak-anak ke MRSM.

"Saya tertanya-tanya kenapa mereka (T20) hantar ke MRSM dan jawapan diterima adalah mahu mendidik anak untuk hidup susah.

"Kata mereka, MRSM kononnya menjadi tempat terbaik untuk anak-anak berkawan dengan golongan B40,” ujarnya.

Ulasnya lagi, kos pembelajaran di sekolah swasta mencecah RM3,000 sebulan.

"Kalau mereka (ibu bapa T20) mampu untuk hantar anak ke sekolah swasta, kenapa mahu berebut masukan ke MRSM?,” jelasnya.

Selain berbicara tentang kuota pengambilan pelajar, wacana tersebut turut berbincang tentang perkembangan pengajian di MRSM dulu hingga sekarang.

Kata Nur Aziera, perkembangan pengajian ketika ini cukup berbeza berbanding zaman sebelumnya.

"Apa yang saya lihat, konsep pembelajaran sekarang lebih ke arah menyediakan pelajar ke pra universiti.

"Sebab itu, ramai ibu bapa mahu menghantar anak-anak mereka ke MRSM kerana pembelajaran lebih ke hadapan,” jelasnya lagi.