Pematuhan halal tanggungjawab sosial perniagaan

Iklan
Syarikat perlu memahami objektif perniagaan dalam industri makanan halal bukanlah sekadar didorong oleh objektif keuntungan dan bersifat retorik semata-mata dalam mendapatkan persijilan halal. Gambar kecil: Juliana Anis.

Kewujudan industri halal dalam pasaran perniagaan dianggap bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, bahkan ia salah satu segmen penting terhadap sumbangan ekonomi negara.

Iklan
Iklan

Keperluan industri halal dalam pasaran adalah satu indikasi terhadap sambutan yang tinggi daripada pelanggan dalam dan luar negara, berikutan peningkatan permintaan dan kuasa membeli terhadap produk dan perkhidmatan halal.

Maka, tidak hairanlah Malaysia dianggap sebagai peneraju hab halal antarabangsa dan menjadi sumber rujukan penting dari luar negara, lebih-lebih lagi dalam aspek produk makanan dan persijilan halal.

Iklan

Halal didefinisikan sebagai ‘dibenarkan’ (permitted) dalam hukum Islam merangkumi segala aspek termasuk produk (makanan dan minuman) serta perkhidmatan dari pelbagai sektor seperti perbankan dan kewangan, farmaseutikal, kosmetik, logistik, pelancongan, kesihatan dan sebagainya.

Islam amat menitikberatkan pengambilan makanan halal demi menjaga kepentingan umat manusia yang bukan sahaja untuk kebaikan dalam memelihara unsur fizikal, tetapi menekankan dalam penjagaan elemen yang memenuhi Maqasid As-Shariah termasuk akidah, nyawa, akal dan harta.

Iklan

Sebagai negara yang mempunyai populasi dengan majoriti penganut agama Islam, kerajaan amat menekan kepentingan dalam menjaga kemaslahatan masyarakat sejagat melalui penggunaan barangan keperluan harian termasuk makanan dan minuman, di mana ia terdiri daripada salah satu sembilan skim pensijilan halal bagi syarikat perniagaan yang ingin memohon persijilan halal.

Sijil halal memainkan peranan yang sangat penting dalam memberi keyakinan dan kepercayaan kepada pelanggan yang mengutamakan isu kebersihan dan kualiti sesuatu produk makanan atau minuman itu.

Tanpa sijil halal, sudah tentu produk yang dijual di pasaran akan menimbulkan keraguan dalam kalangan pelanggan untuk membelinya. Ia kerana permohonan sijil halal memerlukan komitmen tinggi pihak syarikat dalam mementingkan aspek kebersihan, keselamatan dalam proses penghasilan dan penyediaan sesuatu produk, tanpa berkompromi dalam percampuran kandungan makanan dengan elemen yang shubhah atau tidak halal dalam sesuatu produk itu.

Walau bagaimanapun, dengan keadaan ekonomi yang kian mencabar dan kenaikan kos bahan mentah, para pelanggan sentiasa terdedah dengan pelbagai pembelian produk kerana pengeluaran oleh pihak syarikat di luar jangkaan dan pengetahuan oleh para pelanggan.

Justeru, bagi syarikat pengeluar produk makanan yang lebih mementingkan keuntungan dan merasakan pematuhan terhadap peraturan dan prosedur halal adalah rumit, akan mengambil kesempatan dalam menghasilkan produk makanan.

Ini boleh menimbulkan kesangsian dalam kalangan pelanggan seperti pemalsuan logo halal, tiada sijil halal, tidak memperbaharui sijil halal dan proses penyediaan makanan dan penggunaan bahan mentah yang meragukan dari segi aspek kebersihan, keselamatan serta halal sesuatu produk itu.

Tanggungjawab peniaga dan pengeluar

Lanskap persekitaran perniagaan Malaysia dipelopori peniaga bukan Islam (lebih dirujuk pada kaum bukan Melayu), berbanding peniaga kaum Melayu sendiri.

Malah, dalam konteks perniagaan halal, ia lebih didominasi oleh syarikat kecil sederhana (SKS) berbanding syarikat sektor korporat yang besar.

Walaupun tiada halangan bagi kaum bukan Melayu untuk menceburi perniagaan produk makanan halal tetapi kefahaman dalam ilmu dan konsep halal dalam penghasilan dan penyediaan makanan amat penting dalam industri halal.

Ia termasuk aspek produk, pekerja, proses penyediaan makanan dan penentu keuntungan, yang memenuhi dimensi ekonomi, undang-undang dan etika, di mana perniagaan berperanan sebagai ejen ekonomi dalam pasaran perniagaan.

Oleh itu, syarikat pengeluar produk makanan halal perlu berpandangan bahawa perniagaan mereka bukan sekadar menjana ekonomi sesebuah perniagaan itu sendiri, tetapi sebagai menjalankan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Syarikat perlu memahami objektif perniagaan dalam industri makanan halal bukanlah sekadar didorong oleh objektif keuntungan dan bersifat retorik semata-mata dalam mendapatkan persijilan halal. Ini tidak akan membantu syarikat untuk bertahan lama dalam senarai syarikat yang ditauliahkan halal oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui persijilan halal.

Mungkin ada yang berpendapat tanggungjawab sosial ini lebih menjurus kepada amalan sesebuah syarikat yang menunjukkan bahawa syarikat lebih bersifat prihatin dan beretika terhadap golongan masyarakat yang memerlukan seperti golongan yang memerlukan (seperti golongan miskin, anak yatim, rumah orang tua, pelajar), penjagaan persekitaran, pemeliharaan sumber tenaga asli dan sebagainya melalui sokongan moral dan kewangan.

Amalan tanggungjawab sosial korporat ini banyak diamalkan oleh syarikat sektor korporat yang mempunyai dana modal yang besar dan faktor kewangan yang kukuh, berbanding dengan syarikat kecil-sederhana yang mempunyai modal yang kecil dan kewangan yang terhad.

Oleh itu, amalan ia amat jarang diamalkan oleh syarikat kecil sederhana berbanding syarikat sektor korporat atas faktor kewangan dan saiz syarikat tersebut.

Walaupun amalan tanggungjawab sosial korporat ini dipandang tinggi dan dianggap suatu amalan terbaik (best practices) bagi syarikat sektor korporat oleh Suruhanjaya Syarikat dalam usaha mencapai kelestarian sesebuah perniagaan, namun ianya hanyalah suatu amalan perniagaan yang tidak selari dengan operasi sesebuah syarikat itu. Ia juga sekadar sokongan dalam pematuhan kod amalan tadbir urus korporat oleh syarikat sektor korporat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.

Dalam konteks halal, amalan pematuhan halal dalam penghasilan produk makanan mengikut sepanjang rantaian bekalan halal adalah memenuhi skop amalan tanggungjawab sosial melalui operasi perniagaan.

Dengan ini, syarikat akan lebih peka terhadap isu berkaitan halal, kebersihan dan keselamatan sesuatu produk makanan dan mematuhi segala prosedur dan standard halal bagi menjamin integriti halal untuk produk makanan dan selari dengan pematuhan Akta Perdagangan Deskripsi 2011.

Seterusnya ia dapat membantu syarikat dalam mengekalkan status persijilan halal mereka dan meningkatkan pencapaian syarikat melalui kepercayaan para pelanggan terhadap produk keluaran mereka.

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Pahang, Juliana Anis Ramli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my