Ahmad Hata kini Naib Canselor UNIMAS

Iklan
Zambry (kiri) menyerahkan watikah pelantikan kepada Ahmad Hata (kanan) pada Rabu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada Profesor Dr Ahmad Hata Rasit yang dilantik Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Ahmad Hata menggantikan Datuk Profesor Dr Mohamad Kadim Suaidi, akan menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Naib Canselor baharu berkuat kuasa 8 Januari ini.

Iklan
Iklan

"Pimpinlah UNIMAS ke arah kecemerlangan lebih gemilang dan sebagai pusat rujukan ilmu dari dalam dan peringkat antarabangsa," kata Zambry menerusi akaun Facebooknya, pada Rabu.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan media berkata, pelantikan Ahmad Hata adalah untuk tempoh tiga tahun, mulai 8 Januari 2024 hingga 7 Januari 2027.

Iklan

"Pelantikan beliau dilihat mampu meneruskan agenda merakyatkan universiti dan menyumbang kepada pembangunan anak Sarawak melalui kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

"Kementerian juga yakin pelantikan Ahmad Hata mampu memacu kecemerlangan UNIMAS sebagai sebuah Universiti Komprehensif yang berteraskan kepada tiga bidang tujahan iaitu pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar, teknologi maklumat, komunikasi dan kreatif serta kelestarian transformasi komuniti," ujar kenyataan itu.

Iklan

Berbicara tentang biodata, KPT berkata, Ahmad Hata berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dan Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1991 dan 1994.

Kemudian, Ahmad Hata melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Surgeri (Ortopedik) dari universiti sama pada 2001.

Beliau memiliki pengalaman luas dalam pentadbiran organisasi di peringkat universiti, penyandang Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS dari 2019 serta Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS selama tujuh tahun dari 2012.

Terdahulu, watikah pelantikan kepada Ahmad Hatta disampaikan Zambry di Putrajaya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman.