Program jaringan dan jalinan khususnya yang melibatkan kerjasama dan persefahaman pelbagai hala dan dua hala bertujuan memberikan lebih pendedahan kepada semua pihak supaya dapat berkongsi amalan terbaik.
Perkongsian yang dijalankan akan berupaya menggerakkan unit-unit yang baik untuk kejayaan bersama.
Program perkongsian dua hala membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada semua pelajar dan guru untuk menyertai program yang diadakan bukan sahaja membabitkan sekolah dalam negara tetapi diperluaskan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Penyertaan pelajar dalam kerjasama antara sekolah dengan institusi pengajian antarabangsa memberi nilai tambah kepada golongan ini untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Program jaringan dan jalinan ini juga dapat mewujudkan peluang kepada mereka untuk bersaing secara sihat seterusnya menjadi personaliti unggul dalam semua bidang yang diceburi.
[caption id="attachment_35856" width="600"] Cikgu Mohd Nasir[/caption]
Malah, ia menjadi medan kepada pelajar untuk bertukar pandangan dan mengenali budaya luar serta memahami aspek budaya yang berbeza dengan beberapa buah negara yang lain.
Ini juga dapat membuka hati dan minda melalui kerjasama pelbagai hala kepada semua guru.
Penghargaan kepada guru secara konsisten
Program kerjasama antarabangsa juga memberi pengiktirafan kepada guru hasil usaha dan titik peluh bekerja.
Dalam menyediakan pasukan guru yang padu, satu pendekatan untuk mewujudkan penghargaan kepada mereka adalah dengan markah prestasi tahunan yang sekurang-kurangnya berada pada paras cemerlang.
Guru sebagai peneraju aktiviti atau program yang berorientasikan antarabangsa perlu dihargai terlebih dahulu dalam menyuntik motivasi mereka supaya kekal memiliki keyakinan untuk terus majukan diri.
Penghargaan datang dalam pelbagai bentuk dan rezeki tidak pernah salah alamat.
Kejayaan menyertai program antarabangsa merupakan satu pengalaman yang sangat mahal dan tidak dapat dilupakan.
Kesediaan berkongsi pengetahuan dan pengalaman merupakan satu sikap yang perlu diberikan pengiktirafan kepada mereka yang telah memberikan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Baca juga
Masa depan generasi pandemik Covid-19
Kemiskinan haid: Guru, ibu bapa dan masyarakat digesa fahami keperluan asas anak
Guru yang berkaliber menerajui program antarabangsa
Guru yang berkaliber merupakan satu aset penting sesebuah sekolah di mana mereka ini berupaya menjadikan aspek diplomasi antarabangsa sebagai satu kepakaran yang perlu dikuasai.
Terlebih dahulu, guru yang berkaliber ini harus aktif dalam beberapa program antarabangsa anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) dan terbukti berupaya menunjukkan sikap keterbukaan dalam memahami perbezaan budaya.
Sebagai contoh, guru yang terlibat dalam program Asia Pacific Teacher Exchange (APTE) sememangnya sudah berpengetahuan dalam mengendalikan delegasi antarabangsa.
Perkongsian idea melalui jalinan antarabangsa
Idea perkongsian teknik dan pengalaman dapat dilihat oleh guru-guru yang terlibat melalui aktiviti-aktiviti permainan yang dijalankan.
Ini kerana penglibatan aktif pembelajaran melalui latihan bermain jelas menunjukkan sikap positif daripada guru dan pelajar sekolah berkenaan.
Keterujaan pelajar untuk melakukan aktiviti yang berorientasikan hands on jelas terpancar dalam masa mereka menjalankan aktiviti yang disediakan seperti permainan tradisional iaitu permainan guli. Terdapat juga permainan yang mirip dengan budaya tradisi mereka.
[caption id="attachment_35857" width="600"] Permainan congkak yang diperkenalkan dapat menarik perhatian murid antarabangsa.[/caption]
Mengenengahkan budaya tempatan kepada budaya antarabangsa
Melalui program jaringan antarabangsa, kita juga berupaya mengetengahkan budaya dan tradisi melalui permainan tradisional, pakaian tradisi dan juga pelbagai lagi bentuk usaha yang baik kerana tidak terhad kepada peserta untuk mempelajari budaya masyarakat yang berbeza malahan mereka juga perlu mempersembahkan budaya tradisi masyarakat sendiri.
Negara maju khususnya Korea Selatan dan Jepun sememangnya berminat untuk mengetahui apakah budaya tradisi daripada negara-negara membangun yang boleh ditunjukkan kepada murid mereka.
Kita mesti merasa bangga dengan tradisi sendiri dan pada masa yang sama menjadi model kepada usaha ini.
Kita tidak perlu malu dengan budaya tradisi sendiri bahkan kita perlu menjadikan peluang yang diberikan dengan mengetengahkan permainan asli negara dan Asean ini sebagai salah satu identiti yang perlu diketengahkan.
Sebagai rakyat Malaysia, kita juga mesti berani bersaing untuk menjadikan permainan tradisi sebagai salah satu aktiviti yang menyeronokkan dan dengan itu juga kita berupaya menarik minat untuk mereka memahami perbezaan sebagai satu perkara yang baik.
Ini dapat mengubah lanskap dan persepsi terhadap budaya dan tradisi negara membangun di mata negara-negara maju.
[caption id="attachment_35858" width="600"] Permainan tradisi Malaysia dapat mewujudkan fokus dan ketekunan kepada murid.[/caption]
Pusat Pendidikan untuk APCEIU anjuran UNESCO
Pusat Pendidikan untuk Kefahaman Antarabangsa Asia-Pasifik (APCEIU) ialah Pusat Kategori 2 UNESCO yang ditubuhkan pada 2000 melalui Perjanjian antara Kerajaan Republik Korea dan UNESCO untuk mempromosikan dan membangunkan Pendidikan untuk Kefahaman Antarabangsa (EIU), yang kini dianggap sebagai Global Pendidikan Kewarganegaraan (GCED).
APCEIU memainkan peranan penting dalam mempromosikan GCED yang dicerminkan dalam kedua-dua Pendidikan UNESCO 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) PBB.
APCEIU berusaha untuk mempromosikan EIU dan GCED melalui garis tindakan utama seperti mengukuhkan kapasiti nasional, serantau dan global untuk melaksanakan EIU/GCED; menggalakkan pertukaran antarabangsa dan kerjasama EIU/GCED di Asia-Pasifik dan kawasan lain; menyelidik dan membangunkan kurikulum EIU/GCED; menganjurkan bengkel dan seminar latihan EIU/GCED; serta menghasilkan dan menyebarkan bahan pembelajaran dan pengajaran EIU/GCED.
Guru yang aktif dalam lapangan antarabangsa boleh menyertai program anjuran UNESCO APCEIU dengan seliaan KPM.
Permainan tradisi seperti guli, sepak raga bulatan dan sepak takraw berupaya mengenalkan tradisi Malaysia melalui pendedahan secara terus kepada murid di persada antarabangsa.
Negara maju sangat menghargai budaya tradisi mereka dan menjaganya dengan baik serta menjadikan ini sebahagian daripada silibus akademik dan dipraktikan secara menyeluruh.
Permainan tradisi sebagai medium pendedahan antarabangsa
Permainan tradisi merupakan medium terbaik dalam mengetengahkan budaya selain tarian dan nyanyian berunsurkan kebudayaan.
Bezanya ialah cara persembahan kedua-dua aspek tradisi ini memerlukan pentas yang berbeza.
Sekiranya kita hendak memperkenalkan permainan tradisi, murid di persada antarabangsa dapat menyertai dan melaksanakan permainan tersebut dengan cara dan pendekatan bermodel yang ditunjukkan melalui demonstrasi jurulatih, selanjutnya murid dapat mencuba permainan tersebut dengan contoh dan demonstrasi yang telah ditunjukkan.
Kebaikan aktiviti seumpama ini adalah berupaya mengatasi halangan dalam komunikasi di mana negara-negara seperti Korea Selatan dan Jepun dapat mengatasi halangan bahasa menerusi gerakkan dan bahasa badan.
Permainan sepak raga bulatan sangat menarik kerana permainan ini mampu dimainkan walaupun terdapat halangan bahasa kerana sesetengah negara maju tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai keagungan mereka yang harus dibanggakan.
Melalui pendedahan yang dijalankan maka kita seharusnya sedar akan betapa mahalnya sesuatu pengalaman dan betapa pentingnya menghargai budaya tradisi masyarakat sendiri agar dapat diwarisi oleh generasi masa hadapan.
Permainan tradisi mengandungi elemen kerjasama sepasukan dan berupaya mewujudkan satu kefahaman kepada semua.
Kita juga harus mengekalkan permainan tradisi sebagai salah satu daripada entiti kebudayaan masyarakat kita dengan memberi lebih banyak tumpuan di dalam pelbagai aspek.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Perkongsian lawatan antarabangsa ke Korea 2019
Program Jaringan
Sebagai alumni atau bekas peserta program antarabangsa Korea dan Malaysia, pengalaman yang diperolehi turut dikongsikan dengan sekolah bagi mewujudkan program jaringan di sekolah atau institusi di Korea.
Program jaringan ini bertujuan untuk membentuk satu bentuk follow up event yang mana dapat memberikan kerjasama yang baik dengan sekolah-sekolah di Malaysia dan Korea.
Lawatan ini adalah inisiatif sendiri dengan mendapatkan sokongan dan kerjasama daripada KPM dan sebagainya.
Acara lawatan bertujuan mewujudkan kerjasama perkongsian amalan terbaik, fasiliti dan kemudahan yang disediakan di setiap sekolah yang dilawati dengan niat untuk memperoleh pengalaman yang sesuai diadaptasikan dengan budaya rakyat Malaysia.
[caption id="attachment_35864" width="600"] Lawatan pasukan sekolah ke Seoul Eonbuk Elementary School, Seoul Korea Selatan.[/caption]
Fasiliti sukan yang baik mampu menarik minat pelajar untuk aktif di dalam bidang sukan kerana gaya hidup pada masa kini memerlukan murid-murid kekal aktif sepanjang masa.
Perkongsian kebudayaan dan kemahiran seperti tarian dan nyanyian juga merupakan salah satu elemen penting yang bertujuan untuk memberikan penghayatan kepada budaya negara.
Keselamatan dan kebajikan pelajar serta guru semasa menghadiri sesi persekolahan juga keseronokan belajar adalah disertakan dengan bahan bantu mengajar yang lengkap dan sempurna.
Tools atau alat yang digunakan akan menambahkan lagi kefahaman dan penyampaian semasa proses sesi pengajaran dan pembelajaran.
[caption id="attachment_35861" width="600"] Murid-murid bersama-sama menjalankan aktiviti semasa program dijalankan.[/caption]
Maklumat Penulis
Cikgu Mohd Nasir Zakaria
Guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2), Wilayah Persekutuan Putrajaya