Pandemik Covid-19
Pandemik Covid-19

Masa depan generasi pandemik Covid-19

Roshlawaty Md Raieh
22 Feb 2022 02:57pm
A
A
A

Pandemik Covid-19 telah mengubah banyak perkara dalam kehidupan manusia sejak berakhirnya tahun 2019.

Kewujudannya seperti berlaku perang dunia cuma perbezaannya tidak melibatkan penggunaan senjata, kereta kebal, peluru berpandu atau sebagainya.

Peperangan ini hanya dapat dilawan balik melalui penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dengan betul, kekerapan penggunaan sanitasi dan duduk di rumah.

Kini, dunia sedang berperang dengan virus Covid-19 yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Malaysia pula tidak terkecuali dalam peperangan mengekang pandemik Covid-19.

Bermula 18 Mac 2020, kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara. Keadaan menjadi sedikit kelam kabut kerana kebanyakan masyarakat tidak pernah mengalami suasana begini.

Rentetan daripada itu bermulalah fasa hidup norma baharu dalam masyarakat. Pelbagai arahan telah dikeluarkan oleh kerajaan dalam usaha mengekang pandemik Covid-19. Perkara yang paling terkesan antaranya adalah pembelajaran dan pengajaran (PdP) dari peringkat prasekolah sehingga ke universiti.

Penerimaan masyarakat terhadap keadaan tersebut pada awalnya tidak begitu terbuka kerana mereka masih menaruh harapan bahawa PKP ini akan berakhir dalam masa terdekat daripada tarikh keramat tersebut diumumkan supaya kembali pulih seperti sedia kala.

Malang sekali harapan hanya tinggal harapan malah kehidupan norma baharu pula diperkenalkan dan perlu diteruskan kerana negara masih lagi belum bebas dari peperangan pandemik Covid-19 ini.

Kanak-kanak sekolah adalah individu yang paling terdedah dengan penyebaran Covid-19 kerana mereka kurang mengetahui apa yang sedang berlaku di persekitaran mereka.

PdP di sekolah telah berubah kepada Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh tersebut.

Baca juga 

Kemiskinan haid: Guru, ibu bapa dan masyarakat digesa fahami keperluan asas anak

Content creator Bang Man dah konvo, saran generasi muda guna media sosial untuk cari rezeki

Para pendidik, ibu bapa dan masyarakat sudah mula mengambil tanggungjawab masing-masing supaya proses PdP anak-anak dapat diteruskan seperti biasa. Antara sedar atau tidak, amalan norma baharu sudah hampir dua tahun berlalu.

Dalam tempoh tersebut, prestasi akademi anak-anak masih berada dalam keadaan yang terjejas dan tidak selari dengan Aspirasi Pendidikan Negara.

Keberkesanan PdPR secara dalam talian sepanjang pandemik Covid-19 masih diragui pencapaiannya.

Kekerapan mereka mengikut proses PdPR secara dalam talian sangat minimum di rumah. Sedangkan PdP secara bersemuka pun, perkembangan akademik mereka masih terkebelakang, inikan pula secara dalam talian.

Ibu bapa yang sememangnya bekerja dari rumah, mungkin tiada masalah untuk memantau anak mereka secara langsung tetapi keadaan ini sangat terbatas kepada ibu bapa yang perlu keluar bekerja sewaktu Covid-19.

Bagaimanapun sama ada bekerja dari rumah atau tidak, tanggungjawab setiap orang telah berubah sama sekali iaitu ibu bapa berkerjaya perlu bekerja dari rumah atau di luar rumah manakala anak pula perlu bersekolah di rumah kerana semua orang diarah duduk di rumah dan hanya dibenarkan keluar rumah sekiranya ada keperluan.

Ibu bapa dan keluarga terbeban dengan segala tanggungjawab di rumah iaitu menjadi guru, tukang masak, tukang cuci, ustaz dan sebagainya untuk memastikan kehidupan berjalan seperti biasa.

Sebagai manusia biasa yang mempunyai kudrat yang terhad, tidak mampu melaksanakan semua perkara dalam satu masa.

Keadaan tinggal dalam satu rumah tanpa menggalas tanggungjawab masing-masing seperti ke pejabat, ke sekolah, ke kampus dan sebagainya akan melibatkan emosi, mental dan fizikal yang kuat terutama apabila berhadapan dengan konflik.

Kehidupan normal anak-anak berubah dan bertambah tekanan kerana masa mereka telah dirampas oleh pandemik yang kian mencabar sehingga kini.

Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya keluar rumah, bermain di taman, berkawan dan sebagainya. Malah mereka ditakutkan lagi dengan bahayanya Covid-19. Jadi kehidupan terbatas hingga menyebabkan keadaan bertambah tertekan.

Keadaan ini kurang berlaku semasa menjalani kehidupan norma lama, semua orang mempunyai tanggunjawab mengikut masa masing-masing.

Sebagai contoh, seorang pekerja iaitu ibu bapa, kebanyakan bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang secara puratanya, manakala anak-anak akan bersekolah dari pukul 7 pagi hingga 1 petang dan bersambung hingga pukul 6 petang sekiranya ada kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) atau aktiviti kokurikulum.

Setiap hari semua orang sudah sedia maklum dengan tanggungjawab masing-masing. Namun begitu tidak dinafikan, dari sudut positif dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan jika selama ini ibu bapa sibuk dengan urusan masing-masing. Jadi kesempatan ini diambil untuk membaik pulih hubungan kekeluargaan. Walaubagaimanapun perlu difikirkan sejauh mana ia mampu berlaku dan kekal.

Proses PdPR

Berbalik kepada proses PdPR anak-anak, sejauh mana kemampuan mereka belajar secara dalam talian dengan suasana pembelajaran yang kurang kondusif, capaian internet yang rendah, kelemahan penyampaian PdP oleh guru, kurangnya sokongan dan pemantauan ibu bapa dan keluarga serta sebagainya akan menyebabkan minat anak-anak untuk belajar semakin hilang.

Malah PdP secara dalam talian, dalam masa yang sama memberi peluang kepada anak-anak untuk melayari internet bukan pembelajaran seperti YouTube, Facebook, Instagram dan sebagainya.

Sekiranya tidak dipantau, tidak mustahil mereka akan terpesong jauh dari landasan sebenar. Tambahan pula peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah dimansuhkan pada 2020.

Kenyataan ini menyebabkan pelajar hilang tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan besar.

Namun begitu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih diteruskan kerana ia adalah keperluan pelajar yang signifikan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi walaupun berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Ini memperlihatkan perkembangan akademik anak-anak sangat terbatas terutamanya di peringkat sekolah rendah. Semasa norma lama, setiap aktiviti anak-anak dipantau dan diambil kira sebagai markah oleh pihak sekolah tetapi ia tidak berlaku di rumah. Ibu bapa bekerja sebagai guru mungkin mudah untuk mengajar anak masing-masing kerana mereka mempunyai kebolehan dan pengalaman sebagai seorang guru.

Masalah yang timbul apabila anak-anak dari keluarga yang hanya mengharapkan guru untuk melihat perkembangan akademik anak-anak terutamanya golongan B40. Malah terdapat ibu bapa yang mengambil kesempatan menyuruh anak-anak bekerja atau membantu keluarga yang berniaga.

Dalam usia yang masih bersekolah, mereka perlu memikul tanggungjawab orang dewasa. Ini akan menyebabkan anak tersasar jauh daripada tanggungjawab sebagai pelajar. Paling menyedihkan ada antaranya yang beranggapan PdPR ini adalah seumpama cuti dan tidak perlu belajar.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Andai kata keadaan ini berlarutan setahun atau dua tahun lagi dan norma baharu pula perlu diteruskan, PdPR secara dalam talian akan dianggap seperti sekolah dan tiada pantauan guru secara bersemuka hingga menjejaskan masa depan pelajar yang boleh dianggap sebagai generasi pandemik Covid-19.

Keadaan menjadi makin tertekan kepada ibu bapa apabila mendapati anak-anak mampu melayar internet seharian tanpa berbuat perkara lain dan malang sekali bila diminta untuk membuat PdPR, mereka cuba mengelak serta tidak mahu belajar.

Kebebasan melayari internet di rumah akan menyebabkan anak-anak terdedah dengan perkara-perkara yang tidak diingini.

Tidak mustahil perkara-perkara negatif akan berlaku sekiranya perkara ini diabaikan oleh keluarga. Pada keluarga yang berkemampuan dan memikirkan masa depan anak-anak mereka, sudah tentu mencari jalan penyelesaian seperti menghantar ke kelas tambahan, mengaji al-Quran, kelas muzik dan kelas melukis walaupun secara dalam talian.

Yang penting, masa anak-anak itu terisi dengan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat. Jadi dengan kata lain, sebagai ibu bapa kepada pelajar generasi pandemik Covid -19 tidak boleh leka dan alpa dengan mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku.

Dengan ini, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan amanah patut menerangkan kepada anak-anak tentang kepentingan pelajaran secara holistik supaya mereka mampu menghadapi masa depan yang semakin mencabar.

Maklumat penulis

Norlaila Abdullah Chik

Pensyarah Kanan

Sekolah Pengajian Kerajaan

Universiti Utara Malaysia

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan