PUTRAJAYA - Aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah akan dibenarkan mulai sesi akademik 2022/2023 yang akan bermula lsnin ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, kebenaran itu diberikan hanya bagi aktiviti dalam kawasan sekolah saja dan garis panduan serta aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 berhubung kebenaran itu akan diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.
"Sudah pasti ini berita gembira buat anak-anak kita yang selama ini hanya berada di dalam bilik darjah saja. Kita ingin memberi peluang kepada murid dan guru untuk membiasakan diri dengan fasa transisi hidup bersama virus Covid-19 sebelum beralih ke fasa endemik," katanya.
Baca juga
KPM kawal ketagihan game, larang bawa telefon bimbit ke sekolah
KPM teliti garis panduan kemasukan kanak-kanak tanpa dokumen ke sekolah
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang KPM, di sini, hari ini.
Pada 10 Jun tahun lalu, KPM menetapkan bahawa sebarang aktivíiti sukan, kokurikulum dan perhimpunan di sekolah tidak dibenarkan susulan pandemik Covid-19.
Sementara itu, mengulas mengenai penyediaan lokar di sekolah rendah bagi menangani isu beg berat, Radzi berkata pihaknya dalam proses mengenal pasti spesifikasi lokar, bagi menentukan jenisnya dan memastikan kualiti terbaik bagi membolehkan ia digunakan untuk jangka panjang.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
"KPM sedang berusaha menjalankan proses pemasangan secepat mungkin setelah kita kenal pasti lokasi sesuai di kawasan sekolah, namun ada tatacara serta proses yang perlu dipatuhi," ujarnya.
Pada 6 Mac lalu, Radzi mengumumkan penyediaan lokar di sekolah rendah yang akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun ini sebagai pendekatan menangani isu beg sekolah berat.