Sudah lebih dua tahun negara berada dalam fasa pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan beberapa kali sekali gus memaksa Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi mengekang penularan virus di institusi pendidikan.
Hari ini, sesi persekolahan untuk tahun 2022/2023 sudah bermula selepas KPM membuat keputusan agar pelajar kembali belajar secara bersemuka di sekolah meskipun kes harian masih mencatatkan peningkatan.
Walaupun hampir kesemua pelajar dapat hadir ke sekolah secara bersemuka, masih terdapat beberapa kumpulan pelajar yang perlu mengikuti PdPR untuk satu tempoh yang telah ditetapkan.
Sudah tentunya peluang dapat kembali belajar di sekolah membuatkan pelajar sedikit teruja selepas sekian lama terpaksa mengikuti PdPR tetapi dalam masa yang sama timbul sedikit kerisauan mengenai penularan virus Covid-19 yang menyaksikan kemunculan varian baharu.
Begitu pun, rata-rata berpendapat sudah tiba masanya untuk pelajar kembali ke sekolah asalkan segala prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi kerana anak-anak sudah terlalu lama mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
[caption id="attachment_36952" width="400"] Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Jitra, Kedah, Nurun Ihsan Hasbullah.[/caption]
Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Jitra, Kedah, Nurun Ihsan Hasbullah berkata, warga guru amat gembira untuk menerima kehadiran anak-anak murid disebabkan sudah terlalu lama mereka tidak dapat berbuat demikian akibat Covid-19.
"Pihak sekolah akan menguatkuasakan SOP seperti yang diarahkan oleh KPM malah kami juga sudah mengadakan taklimat dan sesi libat urus bersama ibu bapa dan penjaga secara dalam talian dan perkongsian maklumat menerusi rakaman video ucapan serta taklimat pihak pentadbir sekolah.
"Oleh itu, saya berharap semua guru, ibu bapa, penjaga dan murid-murid patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh KPM dan dalam masa yang sama memastikan penjagaan kesihatan anak-anak sentiasa dipantau supaya tidak menyumbang kepada jangkitan kes Covid-19 di sekolah,” katanya kepada Sinar Bestari ketika dihubungi, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut berharap supaya isu berkaitan tahap penguasaan anak-anak di sekolah tidak hanya dibebani kepada guru saja kerana kaedah pembelajaran secara maya sebelum ini tidak dapat membantu sepenuhnya murid-murid dalam memahami dan menguasai mata pelajaran yang diajar.
"Ibu bapa juga perlu cakna terhadap tahap pencapaian anak-anak di sekolah dengan mencari kaedah yang boleh membantu mereka di rumah.
"Contohnya dengan mendaftarkan anak-anak mengikuti kelas tuisyen secara maya, membeli bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) atau modul untuk latihan di rumah serta mengakses bahan-bahan yang disediakan melalui internet,” ujarnya.
Patuhi SOP
Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali pula berkata, sesi pembukaan penggal satu bagi tahun 2022/2023 tidak akan menjadi masalah dan isu besar sekiranya SOP dipatuhi.
"Saya percaya semua pihak dapat memainkan peranan dalam memastikan pematuhan SOP dapat dikekalkan bermula dari rumah sehinggalah ke sekolah bagi mengelakkan penularan virus Covid-19.
[caption id="attachment_36949" width="400"] Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali.[/caption]
"Ibu bapa serta penjaga seharusnya memastikan kesihatan anak-anak sebelum menghantar mereka ke sekolah setiap hari dan perlu memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya anak tidak dapat hadir di atas alasan yang berkaitan dengan jangkitan virus Covid-19.
"Selain guru dan ibu bapa, PIBG juga memainkan peranan dalam memastikan SOP tetap dipatuhi bukan sahaja dalam kalangan murid-murid tetapi ibu bapa dan juga guru dengan membantu mereka sewaktu menyambut kehadiran dan semasa penyuraian di pintu-pintu masuk, keluar sekolah,” ujarnya.
Tambahnya lagi, semua pihak sudah sedia maklum fasa pandemik akan berakhir dan masyarakat bakal hidup dengan suasana endemik di mana setiap lapisan masyarakat perlu memastikan SOP dapat dipatuhi sebaiknya.
"Jadi harapan saya sebagai Yang Dipertua PIBG sekolah, tidak lain dan tidak bukan adalah mengharapkan agar semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru serta komuniti sekitar dapat bekerjasama dan saling bermuafakat dalam memastikan setiap isu atau masalah yang dihadapi dapat diselesaikan sebaiknya secara bersama demi kecemerlangan dan kemenjadian anak-anak bangsa dan negara kita Malaysia,” jelasnya.
Tingkatkan vaksinasi kanak-kanak
Sementara itu, bapa kepada dua orang pelajar, Mohd Hardy Ahmad, turut menyokong keputusan kerajaan untuk meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka kerana negara bakal memasuki fasa endemik tidak lama lagi.
"Sebagai persediaan, kita hanya mampu berusaha mendapatkan vaksinasi untuk anak-anak bagi mengurangkan risiko dan selebihnya kita bertawakal pada yang Maha Esa.
[caption id="attachment_36951" width="400"] Mohd Hardy Ahmad.[/caption]
"Bagaimanapun, harus diingatkan bahawa fasa endemik nanti bukanlah satu batu loncatan berakhirnya Covid-19 dan segala SOP berkaitan janganlah dijadikan sebagai perkara remeh sebaliknya harus menjadi amalan dalam kehidupan seharian kerana kita perlu hidup bersama virus ini.
"Oleh itu, vaksinasi sangat penting bagi menyediakan kekuatan sistem pertahanan badan untuk melawan penyakit ini dan saya berharap agar anak-anak kembali semula ke alam persekolahan normal kerana hanya dengan cara ini segala kefahaman terhadap aktiviti pembelajaran akan menjadi lebih efisien,” kongsinya.
Bagi pelajar SMK Agama Kuala Lumpur, Nurul Faqihah Hisamudin, pula berpendapat sudah tiba masanya untuk pelajar kembali menjalani pembelajaran normal di sekolah selepas sekian lama mengikuti PdPR.
[caption id="attachment_36950" width="400"] Pelajar SMK Agama Kuala Lumpur, Nurul Faqihah Hisamudin.[/caption]
"Ini kerana pembelajaran secara dalam talian menyebabkan pelajar menjadi kurang fokus dan terdapat banyak gangguan sekiranya PdPR dilakukan di rumah masing-masing malah ada sesetengah ibu bapa tidak begitu gemar sekiranya anak-anak menggunakan gajet terlalu lama di rumah.
"Sekiranya belajar secara bersemuka, kami akan dapat memberi tumpuan penuh semasa proses PdP berikutan tiada gangguan di sekeliling termasuklah penggunaan gajet,” jelasnya.
Bagaimanapun, Nurul Faqihah berharap semua pihak termasuklah pelajar itu sendiri dapat mematuhi SOP ketika di kelas, sekolah atau asrama supaya tidak menyebabkan penularan virus Covid-19 kepada orang lain.
"Saya sangat berharap supaya tiada kes Covid-19 di sekolah kerana sekiranya ada, ia akan mengganggu sesi pembelajaran pelajar di sekolah sekali gus mungkin menyebabkan penutupan sekolah untuk tujuan sanitasi,” tuturnya mengakhiri perbualan.