KUALA LUMPUR - Sesi persekolahan bagi Penggal Satu, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 melibatkan seramai 2.7 juta murid sekolah rendah dan kolej vokasional yang bermula baru-baru ini berjalan dengan lancar dan teratur.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kehadiran murid ke sekolah secara bersemuka, khususnya Tahun Satu adalah amat baik.
"Bagi tempoh dua minggu ini, kehadiran murid sekolah rendah adalah secara bersemuka manakala pelajar sekolah menengah memulakan persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
"Bagi sekolah rendah dengan enrolmen murid kurang 600, kehadiran adalah tanpa penggiliran,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Baca juga
Penyediaan lokar di sekolah dibuat secara berfasa – KPM
Radzi, Ahmad Faizal lawat sekolah sempena sesi baharu 2022/2023
Antara sekolah yang dikunjungi oleh beliau ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pakatan Jaya, SK Seri Tanjung, SK Syed Idrus, SK Seri Kelebang, SK Manjoi Satu dan SK Manjoi 2.
Menurut Mohd Radzi lagi, kelancaran sesi persekolahan itu dapat diperhatikan semasa tinjauan pengoperasian di beberapa sekolah sekitar kawasan Parlimen Tambun yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu.
"Khusus bagi negeri Perak, seramai 210,148 murid hadir secara bersemuka dengan 30,648 daripadanya merupakan murid Tahun Satu.
"Apa yang saya perhatikan, anak-anak sungguh bersemangat untuk memulakan persekolahan mereka bersama rakan dan guru,” ujar beliau.
Mohd Radzi juga sempat berterima kasih kepada pentadbir sekolah, guru serta ibu bapa atas kerjasama yang diberikan untuk memastikan pembukaan sesi persekolahan ini berjalan dengan baik.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
"Semoga kerjasama erat semua pihak akan terus diperkukuh, termasuk usaha untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan pengoperasian sekolah dipatuhi,” jelasnya.
Sempena lawatan ke Perak itu, beliau turut meluangkan masa berkunjung ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh bagi sesi perkongsian pengalaman bersama bakal-bakal guru.