1337285
1337285

Penyediaan lokar di sekolah dibuat secara berfasa - KPM

Adlan Farhan Azwan
21 Mar 2022 06:35pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan lokar di sekolah mengikut fasa yang telah ditetapkan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, bagi fasa pertama, ia akan melibatkan penyediaan lokar bagi murid Tahap Satu, iaitu Tahun Satu, Dua dan Tiga di sekolah rendah yang mempunyai dua sesi.

“Pelaksanaan ini akan melibatkan seramai 323,186 murid dan 10,662 kelas merangkumi jumlah anggaran peruntukan tahun 2022 untuk Fasa Satu adalah RM 37.3 juta.

“Manakala bagi Fasa Dua pula, penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid Tahap Dua, iaitu Tahun Empat, Lima dan Enam di sekolah yang beroperasi secara dua sesi juga dan pelaksanaan dijangka pada tahun 2023,” jelasnya ketika Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Baca juga

Guna teknologi dan gajet, dapat pelbagaikan kaedah PdP dan atasi masalah beg berat

Beg sekolah berat: Pakar Ortopedik, orang ramai kongsi pandangan dan harapan

Tambahnya lagi, bagi sekolah satu sesi sahaja, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PN) mengenai perbelanjaan yang diperuntukkan bagi menyediakan lokar seperti yang diumumkan oleh KPM.

Terdahulu, KPM telah menyatakan usaha kerajaan dalam menangani isu beg berat yang terpaksa ditanggung oleh pelajar khususnya di sekolah rendah.

Hang Soon berkata, pihaknya telah menjalankan tiga kajian utama berkaitan isu beg berat.

“Berdasarkan hasil kajian, KPM telah mengambil pelbagai tindakan bagi menangani isu berkenaan antaranya mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/2000: Penggunaan Buku Kerja Di Sekolah Rendah dan Surat Siaran Panduan Menangani Isu Beg Berat Murid di Sekolah pada tahun 2018,” jelasnya.

Menurutnya lagi, masalah ini masih belum dapat ditangani sepenuhnya dan sering menjadi keluhan masyarakat.

“Berdasarkan penelitian maklum balas yang diperoleh, isu beg berat adalah kritikal dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya murid Tahap Satu.

“Oleh yang demikian, antara ketetapan KPM yang akan dilaksanakan segera adalah penyediaan lokar di sekolah rendah secara berfasa, melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan,” ujar beliau.

Selain itu, beliau juga menjelaskan penggunaan buku latihan hendaklah tidak melebihi dua buah buku bagi setial mata pelajaran pada satu satu masa dan setiap buku latihan hendaklah tidak melebihi 80 muka surat.

“Buku aktiviti yang disediakan oleh KPM saja boleh digunakan untuk murid-murid manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu persekolahan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Dalam pada itu, Hang Soon berkata penerbitan baharu buku teks dalam format digital dilaksanakan secara berterusan.

Sehingga kini, sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

“Guru juga digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza.

“Akhir sekali, kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) juga diadakan bagi penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA),” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok