Batriah teruskan legasi, jadi pewaris Lemang Pak Ali

Iklan
lemang3

Setiap kali menjelangnya Syawal, lemang antara juadah yang sering menjadi pilihan untuk dimakan bersama rendang ayam atau daging juga serunding.

Iklan
Iklan

Bagi warga Kuala Lumpur, Lemang Pak Ali bukan lagi asing kerana ia sudah beroperasi sejak 38 tahun lalu malah pernah digelar sebagai 'Lord of The Lemang' kerana mempunyai keunikan rasanya yang tersendiri.

Iklan

Diasaskan oleh Ramli Abdul Rasip, kini gerai lemang itu diwarisi oleh salah seorang ahli keluarga iaitu Batriah Najib Hasbi, 42, bersama anak-anaknya sekali gus meneruskan legasi perniagaan lemang yang sering menjadi pilihan warga kota.

Iklan

Pengalaman menguruskan gerai lemang bersama Ramli ketika usia muda memberi peluang kepada Batriah untuk belajar mengenai selok belok membuat juadah tradisional tersebut sehingga mampu meneruskan perniagaan berkenaan sehingga ke hari ini.

Berkongsi mengenai perjalanan jatuh bangun perniagaan makanan tradisional tersebut, Batriah berkata, sudah menjadi lumrah orang berniaga, kadang kala ada untung dan rugi tetapi semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berniaga.

Cabaran pandemik Covid-19

"Tidak dinafikan pandemik yang melanda sejak lebih dua tahun lalu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat memberikan kesan kepada perniagaan saya.

"Sepanjang tempoh PKP, beberapa kali gerai tidak dapat beroperasi malah jualan juga turut merosot sedangkan saya perlu menanggung kos-kos lain seperti bil utiliti dan gaji pekerja, memang sungguh mencabar,” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Tidak seperti gerai lemang yang biasanya beroperasi ketika bulan puasa atau Syawal, gerai Lemang Pak Ali dibuka sepanjang tahun bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Mula beroperasi pada pukul 9 pagi hingga 8 malam sepanjang bulan Ramadan, gerai berkenaan menawarkan lemang dengan harga bermula daripada RM12 hingga RM26 yang ditentukan berdasarkan saiz.

Selain itu, gerai berkenaan turut menjual juadah lain seperti rendang, serunding dan pelbagai pilihan kuih raya moden dan tradisional.

Resipi rahsia

Ditanya mengenai rahsia kesedapan lemang yang dihasilkan, Batriah menegaskan tiada sebarang resipi istimewa digunakan selain menggunakan santan yang berkualiti, beras pulut dan cara memasak dengan kaedah tradisional.

Lebih istimewa lemang itu dibakar menggunakan kayu api daripada pokok getah bagi melembutkan isi lemang sekali gus memudahkan proses mengawal api agar ia tidak mudah rentung.

Setiap kali menjelang Syawal, Batriah berjaya menjual kira-kira 4,000 hingga 6,000 batang lemang sehari yang mana kebanyakan datang daripada tempahan katering, hotel dan masyarakat di sekitar Kuala Lumpur serta Selangor.

"Jika mengambil kira jualan pada hari biasa, tidak banyak keuntungan yang diperoleh, cukup sekadar membayar gaji pekerja dan menampung kos pengeluaran serta bil utiliti," ujarnya.

Bagi memastikan lemang terus kekal menjadi pilihan warga kota, Batriah akan meneruskan perniagaan berkenaan selagi kudratnya mampu dan dalam masa yang sama melatih anak-anak untuk menguruskannya.

"Kebanyakan anak muda tidak mahu menjalankan perniagaan ini kerana perlu bekerja dalam suasana panas tetapi saya bersyukur kerana ada anak-anak yang menunjukkan minat untuk belajar menjadi pengusaha lemang.

"Saya berharap perniagaan lemang ini akan dapat terus beroperasi di masa akan datang, mampu mengekalkan keunikan rasanya yang tersendiri dan tetap menjadi pilihan warga kota,” tuturnya mengakhiri perbualan.

INFO

Mengapakah buluh sesuai digunakan untuk membakar lemang?

  • Buluh lemang adalah di antara tumbuh-tumbuhan yang mempunyai banyak kegunaan. Sejak zaman awal kehidupan manusia, buluh digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian.
  • Buluh lemang ini tergolong di dalam keluarga Gramineae. Nama saintifiknya pula adalah schizostachyum brachycladum.
  • Buluh lemang ini dipilih kerana ruasnya yang panjang, bentuknya yang lurus dan mempunyai ketebalan yang nipis.
  • Bentuk fizikal buluh yang beruas dan berlubang umpama tabung turut membolehkan ia sesuai digunakan untuk memasak nasi atau lemang.
  • Ketebalan dindingnya yang nipis membolehkan haba daripada arang yang dibakar akan lebih mudah dipindahkan semasa membakar lemang.
  • Sekiranya buluh yang lebih tebal digunakan maka kita memerlukan lebih banyak masa untuk memasak lemang.