UTeM meterai MoA pembangunan industri sawit negara

Iklan
portal-utem
MELAKA - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Sawipac Sdn Bhd bagi menjayakan agenda penyelidikan bersama dalam bidang berkaitan reka bentuk dan pembangunan mesin bagi kegunaan industri sawit negara.Menurut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar, UTeM sebagai sebuah universiti teknikal di Malaysia sentiasa menyokong usaha kerjasama dan sedia berkongsi kepakaran yang dimiliki bersama dengan pihak industri bagi memacu pembangunan negara khususnya dalam industri sawit ini.Tambah beliau, jika dilihat kerjasama ini dari segi reka bentuk dan kajian projek, ia akan dilaksanakan di AMC UteM yang merupakan pusat khusus diwujudkan bagi menyemarakkan kerjasama penyelidikan berasaskan industri. Majlis pemeteraian MoA tersebut telah diadakan di Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka yang turut dihadiri pihak Sawipac, Pengarah Urusan, Neo Teck Siong, Penasihat Teknikal, Datuk Dr Abu Abdullah dan Pengarah Eksekutif, Neo Soon Lee.Sementara itu, Pengarah AMC, Profesor Ir Dr Hambali Arep @ Ariff berkata, pihaknya bekerja keras menjalankan projek berteraskan industri dan amat mengalukan sebarang bentuk kerjasama dalam pelbagai aspek berkaitan.Ujarnya, ia seperti reka bentuk dan pembangunan berkaitan kejuruteraan meliputi pemesinan, automasi, pembuatan aditif, kejuruteraan berbalik dan lain-lain selagi dapat memberi faedah kepada universiti dan pihak industri serta impak kepada negara.Mengulas lanjut bagi impak kerjasama ini, Teck Siong menyatakan, produktiviti industri sawit amat berpotensi tinggi untuk ditingkatkan memandangkan aplikasi teknologi terkini dan tahap automasi masih pada peringkat sederhana dalam industri tersebut."Produk dari sini bukan sahaja telah dipasarkan di Malaysia malah turut dieksport ke negara jiran seperti di Indonesia, Filipina, Thailand dan juga negara lain di Asia dan Afrika," katanya.