Dodol merupakan antara kuih tradisional yang masih diminati ramai tidak kira pelbagai peringkat umur.
Penghasilan dodol yang sedap dan berkualiti tinggi memerlukan proses yang agak lama berbanding dengan kuih-kuih tradisional yang lain.
Hari ini, dengan pertolongan teknologi, mesin pembuatan yang semakin canggih, penghasilan dodol tidak lagi perlu dikacau di dalam kawah selama lapan hingga 10 jam.
Tidak dinafikan, penggemar dodol pasti dapat merasai perbezaan antara dodol yang dihasilkan secara tradisional ataupun menggunakan mesin.
Namun, ia tidak menjadi satu masalah kerana masing-masing mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Bagi Marsyar Maisyurah Azeem, 16, dia bukan sahaja minat dengan kuih tradisional tersebut tetapi merupakan generasi muda yang mewarisi perniagaan keluarga.
Walaupun masih belajar di Tingkatan Empat, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muzafar Shah (1), Lambor Kanan, Perak, itu dilihat tidak kekok menguruskan perusahaan Dodol Opah Yang kerana telah didedahkan sejak kecil lagi.
Timbul minat
Bercakap mengenai minatnya dalam menguruskan perniagaan tersebut, ujar anak ketiga daripada empat adik beradik ini, walaupun didedahkan dengan perusahaan dodol tersebut pada usia muda, tetapi segala-galanya bermula apabila negara dilanda pandemik Covid-19 dua tahun lalu yang telah mengakibatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan memaksanya untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
"Pada mulanya, saya hanya membantu ayah dan ibu dengan kerja-kerja pembungkusan dodol bagi mengisi masa lapang dan dalam masa yang sama untuk meringankan beban mereka.
"Tetapi kini selepas dua tahun, Alhamdulillah saya kini mampu menghasilkan dodol menggunakan resipi turun temurun bermula daripada bahan mentah sehinggalah siap untuk dipasarkan kepada pelanggan yang datang ke kedai atau membuat tempahan secara dalam talian di platform Shopee.
"Hari ini pembuatan dodol tidak lagi seperti dahulu yang perlu dikacau tanpa henti sehingga 10 jam dan dengan teknologi terkini pembuatan kuih tradisional ini dilakukan oleh mesin,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaan neneknya yang terletak di Kampung Telok Sareh, Kampung Gajah, Perak, semasa Lawatan Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia Getaway To Perak, Tourism Malaysia, baru-baru ini.
[caption id="attachment_38446" width="411"] Marsyar Maisyurah menjalani proses pembungkusan dodol ke dalam bekas sumi yang mendapat sambutan.[/caption]
Apa yang membanggakan, Dodol Opah Yang yang diusahakan sejak 1959 ini bukan sahaja terus bertapak dan berkembang maju tetapi turut bertahan sehingga generasi ketiga.
Katanya lagi, kejayaan tersebut adalah hasil usaha semua anggota keluarganya dan mereka akan memastikan perniagaan tersebut akan terus maju.
"Oleh itu, jika diberikan rezeki, saya ingin melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam bidang perniagaan supaya perusahaan keluarga ini boleh dikembangkan dengan segala ilmu yang dipelajari.
"Ini kerana ia sudah sebati dalam diri dan pastinya merupakan salah satu identiti unik bagi kami sekeluarga.
"Alhamdulillah, sokongan yang sentiasa diberikan oleh ahli keluarga mendorong diri saya untuk melakukan yang terbaik sama ada dalam pelajaran mahupun ketika mengusahakan perniagaan Dodol Opah Yang,” tambahnya.
Rutin seharian
Menggalas tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan pada masa yang sama mengendalikan perniagaan bukanlah satu perkara yang mudah dan ini turut diakui Marsyar Maisyurah.
"Apabila melakukan dua kerja dalam masa yang sama, ia memerlukan disiplin yang tinggi selain perlu pandai membahagikan masa.
"Tanggungjawab hakiki saya adalah belajar dan disebabkan itu, waktu berada di kedai hanya setelah segala kerja sekolah yang diberikan oleh cikgu siap,” jelasnya.
Walaupun rutin hariannya agak padat tetapi dia gembira dan bangga kerana dapat meneruskan legasi Dodol Opah Yang.
Artikel berkaitan
Mak Roha kongsi 9 tip hasilkan kulit batang buruk, memang unik, sedap dan istimewa!
Batriah teruskan legasi, jadi pewaris Lemang Pak Ali
Senarai Garis Panduan Pengurusan Panitia Mata Pelajaran di Sekolah KPM