Bagi individu yang bukan kaki pancing, aktiviti memancing mungkin dilihat agak membosankan atau membuang masa kerana perlu menunggu untuk mendapatkan hasil tangkapan seperti ikan, udang atau sotong.
Namun begitu, bagi penggemar aktiviti berkenaan, ia memberikan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila umpan mula mengena dan membuahkan hasil tangkapan yang di luar jangkaan.
Mahasiswa juga antara individu yang turut memilih hobi memancing sebagai aktiviti untuk mengisi masa lapang kerana bukan saja ia boleh dilakukan secara santai tetapi juga mendidik diri menjadi lebih sabar dan berdisiplin ketika memancing.
Ada yang memilih untuk memancing udang atau ikan di kolam dan ada juga yang melakukan aktiviti berkenaan di laut kerana kedua-dua lokasi berkenaan ternyata memberikan aura yang berlainan.
Bagi Pelajar Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Jeevanathan Velu, dia mula meminati aktiviti memancing seawal usia sembilan tahun kerana ayah dan abangnya juga seorang kaki pancing.
[caption id="attachment_38526" width="400"] Jeevanathan.[/caption]
"Sejak kecil lagi ayah sering membawa pulang banyak hasil tangkapan dari laut manakala abang pula sering membawa saya bersama-sama setiap kali pergi memancing sekali gus menimbulkan keseronokan dan minat dalam diri saya.
"Tambahan pula, saya tinggal di kawasan perumahan kampung dan kurang minat dalam aktiviti moden seperti bermain snooker atau permainan video sebaliknya memilih untuk melakukan hobi memancing kerana ia lebih sesuai dengan jiwa saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.
Sepanjang aktif melakukan hobi memancing, Jeevanathan bukan saja pernah memancing ikan tetapi juga spesies hidupan dalam air yang lain seperti udang galah, belut dan ketam.
Beli peralatan memancing
Berkongsi mengenai peralatan yang digunakan, Jeevanathan berkata, sejak kecil dia menggunakan kelengkapan memancing milik ayah dan abangnya tetapi selepas menginjak dewasa, dia mula menyimpan wang untuk membeli peralatan sendiri.
"Setakat ini, kos perbelanjaan untuk membeli peralatan memancing adalah lebih kurang RM700 merangkumi batang kail, mata kail, umpan memancing dan beberapa peralatan yang lain malah kerana minat ini, saya lebih memberikan keutamaan untuk membeli peralatan memancing berbanding keperluan diri sendiri.
"Selain itu, ayah juga pernah membelikan jaring ikan (jenis Apollo) untuk saya sebagai tanda sokongan kerana dia sedar minat saya dalam aktiviti memancing ini begitu tinggi,” ujarnya lagi.
[caption id="attachment_38527" width="600"] Gambar hiasan daripada Pexels.[/caption]
Seperti kebanyakan pemancing lain, Jeevanathan juga pernah melalui pengalaman pahit manis dalam meneruskan hobi berkenaan termasuklah hampir lemas di laut kerana terlalu teruja menangkap ikan tanpa menyedari kedalaman laut dan bahaya yang menanti.
"Momen berjaya memancing ikan talapia merah sebanyak dua tong bersama ayah dan abang pula menjadi detik manis buat saya sepanjang aktif sebagai kaki pancing.
"Kadang kala hasil tangkapan memang memberikan kepuasan tetapi masa yang dihabiskan bersama ayah dan abang itu lebih bermakna buat saya kerana kami sering merancang untuk memancing bersama-sama tetapi sering tergendala kerana faktor kerja dan cuaca,” kongsinya.
Sementara itu, pelajar Bacelor Sains Komputer (Rangkaian Komputer), Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammed Hasifnaily Mhd Hanapiah pula mula minat memancing ketika berumur 12 tahun.
Minat dari kecil
"Saya mula minat memancing kerana sering mengikut rakan dan bapa saudara yang juga kaki pancing apatah lagi hobi ini dapat mengisi masa terluang dan tidak memerlukan banyak tenaga untuk melakukannya.
"Kebiasaannya saya akan memancing udang dan ikan kecil di sungai dan jarang memancing di laut manakala peralatan untuk memancing pula dibeli menggunakan duit tabungan sendiri,” jelasnya.
[caption id="attachment_38525" width="400"] Muhammed Hasifnaily.[/caption]
Ujar Muhammed Hasifnaily lagi, dia menggunakan waktu terluang selepas menghadiri sesi kuliah atau hari cuti bagi melakukan aktiviti memancing supaya tidak mengganggu sesi pembelajaran.
"Bagi pelajar yang minat memancing, saya sarankan mereka teruskan hobi berkenaan kerana ia mengajar sesuatu kepada diri sendiri, contohnya belajar erti sabar, tidak berputus asa dan sentiasa berfikiran positif.
"Selain itu, berusaha adalah perkara yang paling utama untuk diterapkan dalam diri. Tanpa usaha mustahil ikan akan mengena. Namun, apa yang kita mahukan itu tidak semestinya akan dapat kerana yang menentukanya adalah rezeki masing-masing,” tuturnya mengakhiri perbualan.
INFO
Kebaikan memancing
1. Bantu anda jadi lebih cergas
Aktiviti memancing merangsang kekuatan pada bahagian lengan, bahu, belakang dan juga kaki untuk menarik seekor hidupan laut atau sungai ke darat.
2. Memancing tambah vitamin D dalam badan
Vitamin D banyak terkandung dalam sinaran matahari. Oleh itu, individu yang sukakan aktiviti yang dilakukan di luar rumah pasti dapat menerima vitamin D yang cukup untuk badan.
3. Lebih fokus
Menurut pakar, individu yang gemar menghabiskan masa dikelilingi dengan alam sekitar mempunyai keupayaan untuk fokus dengan lebih lama.
4. Hobi memancing bantu kurangkan stres
Kajian mendapati orang dewasa yang mempunyai hobi kurang berisiko untuk mengalami stres ataupun depresi.
Aktiviti memancing membolehkan peminatnya untuk keluar menghirup udara segar sambil menghayati keindahan alam sekitar sudah pasti boleh membuatkan sesiapa saja rasa lebih tenang dan bahagia.
5. Individu dengan hobi memancing banyak kawan, sahabat
Hobi memancing juga dapat bantu eratkan tali persahabatan ataupun ikatan kekeluargaan. Pasti seronok bukan jika sepanjang hari dikelilingi oleh orang yang mempunyai minat dan juga hobi yang sama. Bukan sahaja dapat berkongsi pendapat, malah, mungkin pada hujung sesi memancing nanti anda boleh jumpa kawan baru!
6. Hobi memancing bantu tingkatkan keyakinan diri
Kaki pancing selalunya gemar bertukar-tukar cerita antara satu sama lain. Mereka akan bercerita tentang pengalaman memancing seperti ikan atau udang apa yang telah mereka tangkap ataupun tempat yang terbaik yang mereka pernah lawati. Semua aktiviti ini boleh bantu para pemancing untuk tingkatkan keyakinan diri mereka. Tambah lagi, hobi memancing juga boleh bantu asah skil komunikasi dalam berhubung dengan orang lain.
7. Amalan memancing bantu anda lari sebentar dari dunia nyata
Seperti hobi lain, memancing amat membantu penggiatnya untuk lari sebentar dari dunia nyata dan hiruk-pikuk kota. Setelah menghabiskan banyak masa terperangkap dalam pejabat dan hanya duduk di hadapan skrin komputer, pasti mental rasa lega ketika mendengar bunyi jeram di sungai. Kepala juga rasa lebih ringan ditiup angin sejuk di luar bandar. Pasti badan yang rasa lelah terus jadi bersemangat ketika memancing!
Sumber: Hello Doktor