3 pensyarah cipta produk ‘celik wang’, sasar kanak-kanak fahami ilmu pengurusan kewangan dengan mudah

Iklan
3 pensyarah cipta produk ‘celik wang’, sasar kanak-kanak fahami ilmu pengurusan kewangan dengan mudah

Sekumpulan pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mencipta produk ‘My Kids on Duty Kit’ sebagai usaha memupuk nilai kewangan pada usia muda.

Iklan
Iklan

Mereka adalah Profesor Madya Dr Logasvathi Murugiah, Profesor Madya Dr Hasniza Mohd Taib dan Dr Norzalina Ahmad.

Iklan

Berkongsi dengan Sinar Bestari mengenai ‘My Kids on Duty Kit’, Logasvathi berkata, produk itu bertujuan meningkatkan kemampuan dan keupayaan kanak-kanak terhadap ilmu celik kewangan supaya generasi akan datang mampu membina masa depan yang lebih cerah dan terjamin daripada aspek pengurusan kewangan yang cekap.

Iklan

Katanya, 'My Kids on Duty Kit’ melatih kanak-kanak memantapkan pembentukan nilai murni terutamanya aspek pengurusan kewangan agar mereka mampu membuat penilaian kritikal tentang pengurusan kewangan sendiri.

"Bagi mencapai tahap literasi kewangan yang baik, fokus perlu diberikan kepada pembangunan pendidikan kewangan secara holistik.

"Malah, ilmu kewangan berkenaan perlu diterapkan pada usia muda kerana generasi ini merupakan pemangkin utama dalam menerajui ekonomi, sosial dan politik negara di masa hadapan.

"Saya yakin, dengan bantuan inovasi ini ia boleh meningkatkan keupayaan kanak-kanak dalam membentuk dan meningkatkan tahap celik kewangan masing-masing,” ujarnya.

Baca juga 

‘Hargai guru bukan hanya pada 16 Mei sahaja’ – Cikgu Mohamad Ali

Cikgu Han Jian bangga jadi guru, anggap profesion perguruan kerjaya mulia

Sementara itu, Hasniza pula berkata, pihaknya percaya bahawa pendidikan tentang kewangan harus bermula dari rumah dan untuk mencapai tahap celik kewangan yang baik, tumpuan harus diberikan kepada pembangunan pendidikan kewangan secara holistik pada usia muda.

Jelasnya, pendidikan kewangan harus bermula dari rumah sebelum mengembangkannya melalui kurikulum di prasekolah, sekolah rendah dan menengah.

Ini kerana generasi sekarang merupakan pemangkin utama dalam menerajui pelbagai sektor pada masa hadapan.

"Sasaran utama produk ini adalah kanak-kanak agar mereka dapat mempelajari dan memahami ilmu kewangan dengan mudah melalui aktiviti seharian di rumah.

"Di samping itu, melalui penggunaan produk ini, sedikit sebanyak ia mampu membantu ibu bapa membimbing anak-anak tentang keperluan dan persediaan ilmu kewangan pada peringkat awal dengan cara yang pratikal dan mudah difahami,” katanya dengan menambah selain mendidik anak-anak menabung sambil melakukan aktiviti harian, kit ini juga dapat mendidik mereka tentang nilai-nilai etika yang lain seperti menderma kepada yang memerlukan.

My Kids on Duty Kit

Berbicara lebih lanjut mengenai ‘My Kids on Duty Kit’, barisan pensyarah SEFB berkata, bagi setiap tugasan yang dilaksanakan dengan jayanya, anak-anak akan mendapat ganjaran wang berdasarkan jumlah pelekat bintang (yang disediakan dalam kit) yang berjaya mereka kumpulkan sepanjang tempoh masa yang ditetapkan.

Tiga tabung disediakan iaitu tabung simpanan, perbelanjaan dan derma. Ibu bapa akan berbincang dengan anak-anak tentang jumlah yang dipersetujui untuk dimasukkan bagi setiap tabung tersebut.

Tujuan tabung ini disediakan ialah untuk menyedarkan anak-anak bagaimana wang yang diperolehi perlu digunakan secara berhemah.

Tabung simpanan akan disalurkan ke akaun bank mereka manakala tabung perbelanjaan pula digunakan untuk membeli apa sahaja barang yang anak inginkan seperti permainan, makanan mahupun alatan komputer seperti tablet.

Tabung derma pula akan disalurkan kepada mana-mana tabung untuk menderma seperti tabung masjid, surau di taman perumahan, umah anak-anak yatim, tabung Palestin atau sebarang tabung bencana. Tabung derma juga boleh digunakan bagi tujuan wakaf.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Amalan ini akan mendidik anak-anak untuk menggunakan wang yang diperolehi secara betul dan akan meningkatkan tahap celik kewangan mereka.

Justeru, ibu bapa boleh menilai dan membuat penambahbaikan sama ada dari jenis tugasan atau ganjaran yang diberi kepada anak-anak mengikut penilaian ibu bapa bagi memantapkan pembentukan nilai murni terutamanya aspek pengurusan kewangan murid secara bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Haniza berkata, secara realitinya apabila diaplikasikan kepada anaknya sendiri, kesan ketara dapat dilihat apabila anaknya mengumpul duit dengan melakukan kerja-kerja rumah bagi mendapatkan upah atau ganjaran kerana ingin membeli gajet kesukaan, sekali gus menerapkan nilai murni seperti menderma hasil dari tabungan.

Menurutnya, setiap kebaikan ada ganjarannya sekali gus mendidik anak bahawa bukan senang memperoleh wang dalam masa yang singkat.

Rangkul pingat perak

Baru-baru ini, 'My Kids on Duty Kit’ berjaya merangkul pingat perak pada pertandingan ‘Malaysia Invention & Innovation Expo 2022’ (MIIX 2022).

Pertandingan peringkat antarabangsa itu cukup sengit apabila ia disertai lebih 150 peserta dari pelbagai negara.

Kejayaan produk hasil ciptaan tiga pensyarah UUM ini, diharapkan dapat memberi inspirasi kepada warga universiti dalam menghasilkan lebih banyak produk atau perkhidmatan yang berpotensi untuk dipertandingkan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.