Teknologi pelengkap guru kalis masa hadapan

Iklan
Teknologi pelengkap guru kalis masa hadapan

Kerumitan pendidikan hari ini bagai tidak boleh dinafikan lagi. Suatu masa dahulu, pendidikan adalah berpusatkan guru, tetapi demi memenuhi keperluan yang semakin mencabar, kini yang diperlukan adalah berpusatkan pelajar.

Iklan
Iklan

Untuk melahirkan pelajar yang holistik, minat melakukan kerjanya, bekerja keras, cekal, bertekad menjadi yang terbaik demi agama, bangsa dan negara, guru yang kalis masa hadapan diperlukan.

Iklan

Agenda Davos 2022 menggariskan kontrak sosial baharu pendidikan, dengan empat perkara yang diperlukan ke arah pendidikan kalis masa hadapan iaitu teknologi, interaksi, personalisasi, dan inklusiviti.

Iklan

Tahun ini, tema sambutan hari guru, ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ bersama akronim SEJAHTERA dengan 14 elemen, iaitu Selamat, Seronok, Sihat, Etika, Empati, Jati diri, Adab sopan, Harmoni, Tekun, Teliti, Terampil, Eksplorasi, Rasional dan Artikulasi. Dengan iltizam untuk melahirkan generasi muda yang hebat serta mampu bersaing di peringkat dunia.

Namun realitinya, ancaman Volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity (VUCA) yang hebat diperkatakan, benar-benar mengubah gaya hidup dan cara kita bekerja. Walaupun pada 2014 konsep pembelajaran abad ke-21 (PAK21) giat diterokai dengan memanfaatkan kelebihan teknologi demi manfaat pelajar, namun apabila Covid-19 datang menguji, serba tidak kena juga dibuatnya.

Teknologi seharusnya menjadikan kita lebih dekat. Namun hari ini, teknologi juga menjarakkan kita. Jurang digital yang lebar masih benar-benar menyedihkan dalam pada semua sibuk berbicara tentang hebatnya Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan capaian 5G.

Baca juga 

35 tahun jadi pendidik, Cikgu Zah kini dinobat penerima Tokoh Guru Terengganu 2022

Cegah sebelum parah! Guru, ibu bapa dan murid mohon peka situasi HFMD yang semakin meningkat

Diakui, persahabatan antara pendidikan dan teknologi semakin serasi, walau dalam penuh kepayahan. Contohnya, suatu masa dahulu, semuanya disandarkan kepada pertemuan fizikal dan segerak, kini Microsoft Team, Google Meet dan Zoom misalnya, menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

Dahulu, apabila disebut studio, barangkali yang terbayang ialah studio rakaman untuk artis. Kini, guru-guru juga ada yang lengkap di rumahnya dengan skrin hijau bagi tujuan pembangunan bahan pembelajaran.

Namun, benarkah kepesatan teknologi yang mencapah, antaranya kepintaran buatan, realiti maya, analitik data raya, pembelajaran mesin, internet pelbagai benda dan robot pintar, menjadikan guru semakin mudah tugasnya? Guru semakin rehat? Guru semakin tidak diperlukan?

Teknologi yang merangkumi perkakasan, perisian dan sistem pengoperasiannya hanyalah pelengkap. Mana mungkin, peranan guru bersama jiwa sebagai Murabbi, Muaddib, Muallim, Murshid, Mudarris, Mudarrib, Muwajjih, Muslih, Mukhlis, Muzakki dan Mubdi’, dapat diambil alih oleh teknologi! Semuanya ini menjelaskan betapa unggulnya peranan seorang guru, merentasi batas peredaran masa, sempadan geografi, kemajuan ekonomi serta kepelbagaian budaya.

Walaupun teknologi menjadi antara parameter ke arah pendidikan kalis masa hadapan, perlu difahami bahawa proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) tetap dipimpin oleh insan bergelar guru. Dengan kepimpinan guru yang hebatlah, pengupayaan PdP dapat diberikan kepada pelajar.

Malangnya, hari ini, pelbagai isu kurang enak berkaitan kebajikan dan kesejahteraan guru berlegar-legar seolah-olah tanpa ketemu jalan keluar.

Bagaimana mungkin dapat dilahirkan pelajar kalis masa hadapan, jika guru masih duduk dalam masa silam? Masalah masa silam yang tidak berkesudahan. Mana mungkin, teknologi dapat dimanfaatkan andai guru keletihan memenuhi tuntutan indeks pengukur prestasi (KPI) yang hanya indah di atas kertas, dibebani dengan tugasan pengkeranian malah lebih menyedihkan andai disibukkan menjahit ropol, demi nama dan pujian pihak berkepentingan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Akhirnya, teknologi yang bersifat dinamik memerlukan guru yang berjiwa besar untuk memanfaatkannya demi kecemerlangan pelajar.

Andai benar Keluarga Malaysia serius ingin melahirkan pelajar kalis masa hadapan berteraskan teknologi, usah kesampingkan kesejahteraan guru. Guru mesti diberikan seluasnya ruang berkreativiti bersama teknologi, disokong dalam segenap segi serta diiktiraf peranannya.

Ingat, bukan semua orang mampu dan penuh sabar menjadi guru. Guru adalah batin suci hati nurani, penjunjung budi, manusia yang taqwa, obor hemah kehidupan bangsa.

Selamat Hari Guru!

Maklumat Penulis:

Profesor Madya Dr Afandi Ahmad

Penyelidik Pelawat Program Sabatikal Tajaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Aalborg-UNESCO Centre for Problem Based Learning in Engineering Science & Sustainability Aalborg University, Denmark