SEPANG – Jika sebelum ini T Ravichandran telah berjaya menakluk puncak Everest secara solo sebanyak dua kali iaitu pada 2006 dan 2007, namun misi kali ketiga yang telah pun berjaya direalisasikan pada tarikh keramat 12 Mei lalu membawa cabaran yang berbeza buatnya.
Selain daripada membawa dua impian pendaki yang berusia 40 dan 64 tahun ke puncak tertinggi dunia itu, Ravichandran juga membawa misi dan harapan seluruh warga dan alumni UPM untuk melihat bendera universiti tersebut berkibar megah di puncak tertinggi dunia itu.
Ekspedisi yang bermula pada 25 Mac 2022 yang lalu dan kepulangannya ke Malaysia pada 22 Mei 2022 telah berjaya merealisasikan impian mengibarkan bendera UPM di puncak Everest.
Beliau yang merupakan alumni UPM kelas 1990 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini telah disambut oleh Timbalan Naib Canselor UPM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Arifin Abdu; Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Profesor Madya Dr Arba’ie Sujud, penaja, keluarga, alumni dan juga pelajar UPM.
Menurut Ravichandran, sumbangan terhadap alma maternya iaitu UPM dibuat kerana universiti berkenaan telah banyak berjasa kepadanya.
"Alumni dan alma mater perlu sentiasa seiring dalam visi dan misi universiti. Tanpa semangat dan sokongan daripada seluruh warga UPM serta pengurusan tertinggi universiti itu, saya tidak akan berada pada tahap ini.
"Harapan saya agar semangat ini turut mengalir kepada pelajar semua agar terus berusaha untuk mencapai satu-satu kejayaan. Apa yang pasti kejayaan tidak datang bergolek tetapi kita perlu berusaha dengan satu semangat jitu,” katanya.
Sementara itu, Arifin berkata, usaha yang ditunjukkan oleh Ravichandran membuktikan semangat juang yang tinggi mampu meletakkan nama UPM di persada dunia.
"Ini bukan satu kerja yang mudah, perjalanan untuk sampai ke puncak memerlukan daya saing yang tinggi.
"Semangat juang ini pasti akan menyuntik rasa ingin kembali berbakti kepada semua alumni yang lain dan dalam masa yang sama membawa nama UPM di puncak dunia," ujarnya.
Arba’ie pula berkata, apa yang dilakukan oleh Ravichandran itu dapat membangkitkan semangat juang yang tinggi dalam kalangan pelajar UPM bagi mencapai kejayaan.
"Sumbangan boleh hadir dalam pelbagai cara dan bentuk. Hari ini Ravichandran selaku alumni UPM telah menyuntik jiwa yang kental kepada para pelajar UPM serta menunjukkan satu modal insan yang tinggi ke atas para pelajar.
"Beliau juga mempamerkan rasa kebersamaan bersama universiti dalam meletakkan nama UPM di puncak dunia dan ia bukan perkara yang mustahil jika disertakan dengan semangat serta kemahuan yang tinggi.
"Lebih manis lagi kejayaan beliau ini dilakar pada bulan UPM sedang meraikan Hari Alumni UPM bermula 21 Mei lalu malah pencapaian Ravichandran boleh menjadi penanda aras buat alumni untuk menyumbang dan berbakti semula kepada universiti melalui kepakaran bidang yang tersendiri," jelasnya.