Hasilkan produk inovasi, sekolah terap elemen STEM dalam kalangan pelajar

Iklan
khairul

Dalam usaha melahirkan pelajar yang memiliki kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), kreatif dan holistik, aspek inovasi perlu dititiberatkan dalam pembelajaran di sekolah sejak dari bangku sekolah rendah lagi.

Iklan
Iklan

Ini kerana inovasi bukan saja melatih pelajar menjadi kreatif tetapi turut menerapkan elemen kemahiran insaniah seperti keyakinan diri, komunikasi dan sikap bekerjasama dalam kumpulan.

Iklan

Penghasilan produk inovasi di peringkat sekolah dilihat bukan saja mampu melonjakkan nama sekolah tetapi turut memberi manfaat kepada keseluruhan warganya apatah lagi produk yang dihasilkan itu boleh digunakan di sekolah.

Iklan

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Jasin, Melaka antara yang memanfaatkan kreativiti pelajarnya dalam aspek inovasi menerusi penghasilan produk yang dikenali dengan Mobile Recycle Bin bagi memudahkan proses pengurusan sisa plastik di sekolah berkenaan.

Menurut guru pembimbing bagi projek inovasi tersebut, Cikgu Khairul Nazri Taha, 39, idea untuk menghasilkan produk berkenaan timbul apabila tong sampah kitar semula yang terdapat di sekolah terletak agak jauh dari tempat tumpuan pelajar.

Tong kitar semula

"Penggunaan plastik yang tinggi dan kesukaran menguruskan sisa plastik di pusat pengumpulan kitar semula di sekolah juga menjadi antara penyebab yang mencetuskan idea untuk menghasilkan produk ini.

"Oleh itu, kami membuat keputusan untuk menghasilkan tong sampah kitar semula mudah alih bagi memudahkan ia diletakkan di mana-mana sudut yang sesuai dalam sekolah untuk kegunaan semua.

[caption id="attachment_39504" width="400"] Cikgu Khairul Nazri.[/caption]

"Kos untuk menghasilkan produk ini menelan belanja sebanyak RM45 kerana menggunakan bahan kitar semula manakala masa yang diambil untuk menyiapkan tong ini kira-kira tiga bulan,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai Mobile Recycle Bin, Cikgu Khairul Nazri memberitahu, ia telah terpilih menjadi juara pada pertandingan DIY Made Simple 2021 ke-5, anjuran peruncit perkakas rumah kegemaran rakyat Malaysia, MR D.I.Y. Group (M) Bhd (MR D.I.Y) bersama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares).

Berkongsi mengenai proses penghasilan produk inovasi itu, Cikgu Khairul Nazri yang juga Guru Penasihat Kelab Robotik berkata, botol plastik digunakan sebagai bahan utama yang dicantumkan menggunakan epoxy resin.

"Kami menggunakan kira-kira 300 botol plastik untuk menghasilkan Mobile Recycle Bin dan melakukan proses menguji ketahanan produk ini dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

"Seramai 10 orang pelajar Tingkatan Satu hingga Lima yang terdiri daripada ahli Kelab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Inovasi terbabit dalam projek ini,” jelasnya.

Kepentingan inovasi

Mengulas mengenai kepentingan aspek inovasi dalam kalangan pelajar sekolah, guru yang mengajar mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) itu berpendapat perkara berkenaan perlu diterapkan dalam diri pelajar-pelajar supaya mereka menjadi individu yang holistik.

"Inovasi ini penting kerana setiap hari kita berfikir cara untuk menghasilkan benda baharu bagi memudahkan urusan kehidupan harian dan dalam masa yang sama ia melatih pelajar menjadi lebih kreatif dan berfikir di luar kotak.

"Secara tidak langsung juga, pertandingan inovasi yang dianjurkan di dalam atau luar sekolah mendidik pelajar menjadi berani meluahkan idea dan memberikan pendapat.

"Kadang kala kita lihat pelajar menjadi sangat pasif jika mereka tidak diberi peluang atau mungkin mempunyai banyak idea yang terpendam tetapi tiada keyakinan dan menerusi pertandingan sebegini, mereka berani untuk tampil ke depan,” kongsinya.

Tambahnya lagi, di sekolah kaedah inovasi disalurkan secara akademik menerusi mata pelajaran RBT manakala penubuhan beberapa kelab turut merancakkan lagi pembabitan pelajar dalam aspek berkenaan.

"Di SMK Iskandar Shah, kita ada Kelab STEM dan Inovasi serta Kelab Robotik di mana pelajar boleh menyusun pelbagai aktiviti dan program bagi mencungkil bakat serta kebolehan mereka dalam aspek inovasi.

"Setakat ini penyertaan daripada pelajar sangat menggalakkan yang mana Kelab STEM dan Inovasi sudah mempunyai 38 orang ahli.

"Bagi mereka yang meminati bidang inovasi, saya sarankan supaya teruskan minat kerana banyak aspek dapat dipelajari termasuklah menyertai pelbagai pertandingan inovasi,” tuturnya mengakhiri perbualan.

INFO

Proses penghasilan Mobile Recycle Bin

Mengumpulkan botol plastik

Menghancurkan botol plastik

Membina acuan

Campuran epoxy resin

Membentuk produk menggunakan acuan

Memotong

Memasang

Ujian ketahanan

Produk akhir